Konsep prihatin jadi panduan kerajaan Pahang
Konsep prihatin jadi panduan kerajaan Pahang
BENTONG – Pelbagai faedah bukan sahaja pembangunan akan terus disalurkan kepada rakyat di Pahang.
Ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan Pahang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Paling mendapat perhatian kerajaan negeri adalah dalam aspek pendidikan dan pembinaan modal insan.
Perkara itu dikongsi Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam ketika merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Chemomoi, dekat sini.
Sambil mengimbas kembali kenangan ketika bersekolah di situ, Amizar selaku ADUN Pelangai menyatakan komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua.
“Sekolah ini adalah sekolah rendah saya bermula umur enam hingga 12 tahun yang mana saya membesar dan belajar di sekolah ini.
“Sewaktu itu, saya masih ingat antara guru yang banyak mengajar saya iaitu Cikgu Amir , Cikgu Arshad , Cikgu Daud , Cikgu Wahid , Cikgu Mat dan ramai lagi.
“Mereka waktu itu yang garang namun sangat memberi kesan positif kepada saya dan rakan-rakan,” katanya.
Dia turut mengakui SK Chemomoi sudah berjaya melahirkan murid yang bagus dan cemerlang dalam setiap bidang diceburi.
“Saya juga mewakili Kerajaan Negeri Pahang dapat jua menyalurkan sokongan kepada sekolah atas prinsip Kerajaan Pahang Prihatin kepada pendidikan terutama dalam pembangunan serta sokongan kepada pihak PIBG sekolah,” katanya lagi.
Sejurus selesai menghadiri mesyuarat PIBG di SK Chemomoi, Amizar merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Kemahiran anjuran KEMAS Parlimen Bentong di Dewan FELDA Sungai Kemahal.
Seramai 150 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk suri rumah mengambil peluang menceburi bidang kemahiran tambahan seperti jahitan.
“Terima kasih kepada KEMAS Parlimen Bentong dan semua terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya. – SAHIH