Kongsi kejayaan kerajaan Pahang bersama masyarakat Telemong
Kongsi kejayaan kerajaan Pahang bersama masyarakat Telemong
BENTONG – Setiap kisah kejayaan dan pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan Pahang adalah bagi manfaat penduduk di negeri ini tanpa mengira kaum dan agama.
Kesungguhan serta keikhlasan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk wajar diberi penghargaan.
Perkara itu adalah antara perkongsian disampaikan Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam ketika merasmikan mesyuarat agong Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Telemong, dekat sini.
Amizar memaklumkan perkongsian kisah kecemerlangan Wan Rosdy memimpin kerajaan Pahang adalah bertujuan memberi maklumat tepat kepada penduduk setempat berkaitan pelbagai usaha yang sudah dan sedang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Perkongsian ini juga boleh diterjemahkan kepada sekolah dan ibu bapa yang boleh membantu sekolah dalam aspek perancangan akademik dan aktivi lain kepada pelajar,” ujarnya.
Pada mesyuarat agong itu, Thong Wah kekal sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola SJKC Telemong manakala Liew Yoon Kheem pula dipilih sebagai Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan.
Selesai merasmikan mesyuarat agong PIBG di SJKC Telemong, Amizar yang juga ADUN Pelangai meluangkan masa menyantuni masyarakat di pekan itu.
Dia sempat menikmati minum petang bersama penduduk sambil bertukar fikiran mengenai perkara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan lagi ekonomi di kawasan terbabit.
“Selain berbincang mengenai perkara dan aduan dibangkitkan penduduk, saya bersama masyarakat Telemong juga melihat kepada beberapa isu yang perlu diberi perhatian segera.
“Antaranya berkaitan isu perumahan, isu jalan, elektrik, air serta isu kebersihan yang sentiasa dititikberatkan oleh pihak saya,” katanya.
Amizar memaklumkan akan mencari jalan untuk menyelesaikan perkara disuarakan penduduk selain membantu sebaik mungkin segala keperluan masyarakat di Pelangai. – SAHIH