KONGRES sokong ketelusan tangani kes disiplin
KONGRES sokong ketelusan tangani kes disiplin
JERANTUT — Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia agar pengetua dan guru besar tidak menyembunyikan kes salah laku pelajar, sebaliknya bertindak secara telus, profesional dan berhemah dalam menangani isu disiplin di sekolah.

Presidennya, Mohamad Zapawi Mamat, berkata pendekatan terbuka amat penting bagi memastikan sekolah kekal sebagai institusi yang membentuk sahsiah murid secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi terhadap disiplin dan nilai moral.
“Guru dan pentadbir sekolah wajar diberi keyakinan serta perlindungan sewajarnya supaya tindakan mereka dalam mendidik dan membimbing murid tidak disalah tafsir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, setiap kes disiplin perlu dilaporkan mengikut prosedur yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar tindakan yang diambil adalah adil, telus dan berlandaskan garis panduan.
“Masalah disiplin bukan hanya tanggungjawab sekolah semata-mata, tetapi turut memerlukan peranan ibu bapa dan masyarakat,” katanya.
Zapawi menegaskan bahawa ketelusan bukanlah faktor yang menjatuhkan kredibiliti seseorang, sebaliknya mencerminkan kejujuran serta tanggungjawab kepimpinan.
“Masyarakat perlu sedar bahawa tugas sekolah bukan sekadar mendidik, tetapi juga membimbing serta memulihkan murid yang bermasalah,” katanya.
Beliau berkata, tahap pelaporan kes disiplin bergantung kepada jenis dan tahap kesalahan.
“Bagi kes ringan, intervensi di peringkat sekolah sudah memadai. Namun bagi kes serius seperti jenayah atau yang melibatkan keselamatan, laporan wajib dibuat kepada pihak polis atau jabatan pendidikan,” katanya.
Zapawi turut mengingatkan bahawa menyembunyikan kes salah laku pelajar bukan sahaja menyalahi peraturan, malah boleh menjejaskan integriti kepimpinan sekolah serta usaha membentuk sahsiah pelajar.
Sebagai kesatuan yang menaungi guru di seluruh negara, katanya, KONGRES komited bekerjasama rapat dengan KPM dalam memperkukuh pelaksanaan dasar pendidikan, termasuk aspek pengurusan disiplin, kebajikan dan keselamatan guru.
Melalui jaringan kesatuan di peringkat negeri dan daerah, KONGRES juga bersedia menjadi saluran maklum balas serta rakan strategik kepada kementerian.-SAHIH.
