Kongres sokong cadangan akta perlindungan guru Malaysia
Kongres sokong cadangan akta perlindungan guru Malaysia
KUANTAN – Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) memaklumkan bahawa isu perlindungan undang-undang terhadap guru telah lama dibangkitkan secara rasmi melalui pelbagai usul dan cadangan kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Cadangan mewujudkan Akta Perlindungan Guru Malaysia, seperti yang dibangkitkan dalam Persidangan Agung UMNO, dilihat tepat pada masanya bagi melindungi kebajikan guru, khususnya berkaitan beban tugas, keselamatan serta hak profesional mereka.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, perubahan landskap sosial dan pendidikan masa kini telah mewujudkan cabaran besar kepada profesion keguruan, termasuk peningkatan tindakan dan aduan daripada ibu bapa terhadap warga pendidik.

Presiden Kongres, Mohd Zapawi Mamat berkata, sokongan berterusan terhadap usaha tersebut mencerminkan keprihatinan mendalam terhadap kebajikan, keselamatan dan perlindungan profesional guru dalam melaksanakan tugas hakiki mereka, khususnya dalam persekitaran pendidikan yang semakin mencabar.
“Kongres menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk mewujudkan Akta Perlindungan Guru Malaysia seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini.
“Cadangan ini selari dengan keperluan semasa profesion keguruan yang kini berdepan pelbagai cabaran kontemporari, termasuk peningkatan beban tugas, isu keselamatan di sekolah serta risiko aduan dan tindakan undang-undang yang boleh menjejaskan fokus guru terhadap proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sokongan Kongres terhadap akta berkenaan adalah berasaskan aspirasi dan suara akar umbi warga pendidik yang mengharapkan satu kerangka perundangan yang adil, jelas dan seimbang.
“Akta Perlindungan Guru bukan bertujuan memberikan kekebalan undang-undang kepada guru, sebaliknya berfungsi sebagai mekanisme perlindungan profesional agar mereka dilindungi secara wajar ketika menjalankan tugas selaras dengan peraturan, garis panduan dan etika perguruan yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, Kongres memohon agar satu kajian komprehensif serta libat urus berstruktur dilaksanakan dengan melibatkan KPM, Bahagian Sumber Manusia, kesatuan guru, pakar perundangan dan semua pihak berkepentingan.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi merangka kerangka pelaksanaan Akta Perlindungan Guru yang menyeluruh, praktikal dan berkesan, sekali gus memperkukuh sistem pendidikan negara serta menjamin kesejahteraan warga pendidik secara berterusan. – SAHIH.
