KOMPAUN MENANTI JIKA HADIR KE PPV TANPA TEMU JANJI
KOMPAUN MENANTI JIKA HADIR KE PPV TANPA TEMU JANJI
KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memberi amaran kepada mana-mana pihak yang merancang untuk mencuba nasib mendapatkan vaksin COVID-19 dengan hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) tanpa temu janji yang sudah ditetapkan.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, tindakan kumpulan atau individu terbabit bukan sahaja menyukarkan proses kawalan keselamatan di PPV, bahkan mengakibatkan kawasan PPV mengalami kesesakan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Tindakan seperti ini sangat dikesali dan janganlah datang ke PPV jika anda belum menerima pengesahan temu janji untuk suntikan vaksin. Kita tidak mahu suasana bersesak atau kehadiran terlalu ramai orang di PPV dalam satu masa.
“Kami memberi amaran terlebih dahulu, namun jika perkara ini terus berulang, JKNP tidak ada pilihan lain dan kami boleh mengeluarkan kompaun kepada mereka yang sengaja hadir ke PPV tanpa temu janji,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dr Bahari berkata, kaedah pengurusan vaksin di semua PPV dilakukan berdasarkan senarai temu janji yang sudah disahkan melalui aplikasi MySejahtera dan perkara itu sepatutnya sudah difahami oleh orang ramai.
Katanya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga sudah menyediakan platform khusus bagi memudahkan pendaftaran vaksin, melalui aplikasi MySejahtera dan Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang.
“Saya ada menerima laporan dari (pengendali) PPV membabitkan kes individu tanpa temu janji yang berkumpul di pusat vaksin dengan harapan diberi peluang mendapatkan vaksin COVID-19.
“Kita perlu ikut proses yang ditetapkan, bukan boleh datang secara ‘walk-in’ seperti itu. Jadi apabila keadaan seperti ini berlaku, petugas di PPV terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa untuk mengarahkan kumpulan atau individu ini beredar dari kawasan (PPV) berkenaan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai tahap kehadiran penerima vaksin yang memiliki temu janji, Dr Bahari berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai nama kedua sekiranya individu yang dijadualkan menerima vaksin tidak dapat hadir.
“Semua senarai penerima vaksin dan daftar nama kedua untuk dihubungi sekiranya penerima (yang dijadualkan) tidak datang memang sudah sedia ada dalam simpanan setiap PPV.
“Tidak ada istilah orang ramai boleh mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin kerana ia dilakukan secara sistematik. Kita tidak semudahnya akan melayan permintaan individu yang ingin mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ kerana semua perlu mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.-SAHIH