KOMITED LINDUNG BURUNG MIGRASI
KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Rangkaian Laluan Burung Hijrah Asia Timur–Australasia (EAAFP) dapat meningkatkan kepentingan melindungi habitat burung migrasi, sekali gus mengelak kepupusan spesis burung air hijrah.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah yang mencerminkan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa itu juga dapat meningkatkan kepentingan serta peranan tanah lembab di negara ini.
“Rangkaian ini (EAAFP) adalah satu daripada sembilan laluan burung air migrasi membabitkan 22 negara merangkumi Timur Jauh Rusia dan Alaska menuju ke arah selatan melalui Asia Timur, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand.
“EAAFP ditubuhkan pada 6 November 2006 dianggotai 37 pekongsi dan Malaysia secara rasmi menjadi negara ke-28 dan ahli pada 11 November 2012,” katanya dalam kenyataan disiarkan Bernama hari ini.
EAAFP diwujudkan untuk memberi fokus kepada perlindungan burung air hijrah termasuk habitat spesies itu selain komuniti manusia yang bergantung hidup kepada burung tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Bako Buntal Bay di Sarawak sudah diiktiraf sebagai Flyway Network Site yang pertama di negara ini pada 2013 dengan sekurang-kurangnya antara 20,000 hingga 25,000 burung air migrasi setiap tahun.
Katanya, tapak itu perlu dilindungi kerana spesies burung berkenaan bergantung kepada rangkaian tanah lembab yang produktif untuk berehat dan mencari makanan, sebagai bekalan tenaga sebelum meneruskan perjalanan ke fasa seterusnya.
Menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Burung Hijrah Sedunia 2020 itu, Shamsul Anuar berharap ia dapat mengetengahkan keperluan kerjasama antarabangsa, bagi memastikan pemuliharaan burung migrasi serta habitat spesies tersebut secara global.
Bertemakan Burung Menghubungkan Dunia Kita, sambutan tersebut diraikan dua kali setahun pada setiap Mei dan Oktober sejak 2006.