KOME CAKNA ziarah penduduk Taman Saga
KOME CAKNA ziarah penduduk Taman Saga
MENTAKAB – Persatuan Orang Merdeka dan Cakna Temerloh (KOME CAKNA) meneruskan usaha membantu golongan memerlukan melalui program Ziarah Kasih di Taman Saga, di sini, semalam.
Program diketuai Pengerusinya, Jamil Yaakub, itu bertujuan meninjau keadaan penduduk setempat, khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan, kekangan kewangan dan isu kemudahan asas.
Menurut Jamil, beberapa isu dikenal pasti sepanjang lawatan tersebut, termasuk rumah uzur, keperluan rawatan kesihatan serta bantuan pendidikan untuk anak daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Kami mendengar sendiri keluhan penduduk dan melihat keadaan mereka yang memerlukan perhatian segera. Pihak KOME CAKNA akan membawa perkara ini kepada pihak berwajib bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil,” katanya.
Beliau berkata, KOME CAKNA komited memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat Temerloh, khususnya golongan terpinggir.
“Ziarah seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan persatuan dengan penduduk, malah menjadi saluran penting untuk mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi komuniti,” ujarnya.
Program itu turut disertai sukarelawan persatuan yang membantu menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada beberapa keluarga terpilih.
Seorang penduduk, Rohana Mat, 54, berkata, kehadiran KOME CAKNA memberi sinar baharu buat mereka yang sebelum ini berasa terabai.
“Kami rasa dihargai apabila ada pihak datang mendengar masalah kami. Harap usaha ini berterusan,” katanya.
Jamil menegaskan pihaknya akan merancang lebih banyak program turun padang bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya.-SAHIH
