KOME CAKNA seru rakyat segera miliki lesen memandu
KOME CAKNA seru rakyat segera miliki lesen memandu
TEMERLOH – Persatuan Orang Merdeka dan Cakna Temerloh (KOME CAKNA) menyeru rakyat Malaysia supaya segera memiliki lesen memandu bagi memastikan keselamatan di jalan raya selain melayakkan mereka menerima pelbagai bantuan kerajaan.
Pengerusinya, Jamil Yaakub berkata, lesen memandu bukan sekadar keperluan undang-undang, malah menjadi antara syarat penting untuk menikmati kemudahan seperti subsidi petrol yang kini dilaksanakan kerajaan.
Menurutnya, masih ramai golongan B40 tidak memiliki lesen disebabkan kekangan kewangan, namun kerajaan menyediakan peluang melalui Program MyLesen B2 yang menawarkan lesen motosikal dengan kos rendah atau secara percuma.

Jamil Yaakub – Pengerusi Persatuan Orang Merdeka dan Cakna Temerloh
“Rakyat perlu ambil peluang ini. Lesen bukan saja untuk elak saman atau sekatan jalan raya, tapi menjadi dokumen penting untuk layak menerima pelbagai inisiatif kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, kempen kesedaran itu penting kerana masih ramai golongan muda di luar bandar mengambil mudah isu lesen memandu dan terus menunggang atau memandu tanpa kebenaran sah.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja mengundang risiko keselamatan, malah boleh menyebabkan mereka terlepas peluang menikmati subsidi atau bantuan lain yang memerlukan pemilik mempunyai lesen sah.
“Jangan tunggu disaman baru nak ambil lesen. Rebutlah kemudahan yang disediakan kerajaan demi keselamatan dan kesejahteraan kita bersama,” katanya.
Jamil berkata, pihaknya turut menyeru masyarakat setempat agar membantu menyebarkan maklumat mengenai program MyLesen dan inisiatif berkaitan kepada ahli keluarga serta rakan yang layak.
“KOME CAKNA akan terus memainkan peranan mendekati masyarakat melalui program kesedaran supaya tidak ada lagi alasan untuk rakyat tidak memiliki lesen memandu,” katanya.
Beliau turut berharap kerajaan memperluas pelaksanaan program MyLesen ke seluruh daerah bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat terutama golongan B40.-SAHIH