KOME CAKNA Santuni 30 Penerima B40 di DUN Lanchang
KOME CAKNA Santuni 30 Penerima B40 di DUN Lanchang
TEMERLOH – Sebanyak 30 keluarga daripada golongan B40 di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang menerima bantuan sumbangan hasil inisiatif Persatuan Orang Merdeka dan Cakna Temerloh (KOME CAKNA), baru-baru ini.
Pengerusinya, Abd Jamil Yaakub berkata, penerima bantuan dipilih berdasarkan maklumat daripada penduduk setempat bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan mendapat manfaat.
“Kita tidak mahu ada golongan yang terpinggir, jadi kita ambil pendekatan dengan merujuk penduduk bagi mengenal pasti penerima yang layak,” katanya ketika ditemui selepas program penyerahan sumbangan.
Bantuan itu melibatkan penduduk di beberapa kawasan seperti Kampung Gajah Mati, Felda Bukit Damar dan Felda Lakum. Setiap penerima menerima barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan beberapa keperluan harian lain.
Menurut Abd Jamil, program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
“Ini sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan kebajikan masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan, terus terbela,” jelasnya.
Salah seorang penerima, Rohani Mohd, 56, berkata, bantuan yang diterima amat bermakna bagi keluarganya yang sedang berdepan kesulitan kewangan.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang sudi menghulurkan bantuan. Ini sedikit sebanyak membantu kami menghadapi kehidupan seharian,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Jamil menyeru lebih ramai pihak, termasuk syarikat korporat dan individu, untuk tampil membantu golongan memerlukan bagi memastikan tiada yang terabai.
“Kebersamaan kita dalam membantu antara satu sama lain amat penting. Jika ramai yang cakna, lebih banyak pihak dapat dibantu,” ujarnya.
Program tersebut berakhir dengan sesi ramah mesra bersama penerima sumbangan yang jelas menunjukkan rasa syukur dan gembira atas bantuan yang diberikan.-SAHIH