KODARA Terus Cemerlang, Jualan Cecah RM49Juta Tahun Ini
KODARA Terus Cemerlang, Jualan Cecah RM49Juta Tahun Ini
BENTONG– Koperasi Serbaguna DARA Berhad (KODARA) terus mencipta kejayaan apabila jumlah jualan mereka meningkat kepada RM49juta tahun ini berbanding RM46juta pada tahun lalu.
Menurut Pengerusinya, Datuk Idros Yahya, pencapaian ini didorong oleh usaha berterusan pihak koperasi mempelbagaikan cabang perniagaan. “Kita mulakan dengan promosi jualan dan tambah lagi bisnes seperti stesen minyak, dua kedai dobi, serta sewaan rumah dan kedai,” katanya ketika ditemui di Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Negeri Pahang 2025 di Bentong, Pahang.
Turut hadir dalam Majlis tersebut Exco kerajaan negeri Datuk Amizar Abu Adam, Pengarah SKM negeri Pahang, Ibrahim Husain dan Puan Siti Azlin Ahmad Dauta, Naib Ketua Pegawai Eksekutif SKM.
Tambah beliau, KODARA kini mengusahakan projek pembangunan perumahan di Pekan seluas 10 hektar melibatkan 118 unit rumah yang bakal dibuka jualannya.
Di Muadzam Shah pula, sebanyak 16 unit rumah telah disiapkan sepenuhnya dan koperasi sedang menjalankan projek mega pembangunan 559 buah rumah di kawasan seluas 50 hektar dalam tempoh lima tahun.
“Kami sudah jual 96 unit dan pembinaan kini berjalan. R n R di Muadzam juga dalam fasa 70 peratus siap dan dijangka beroperasi awal tahun 2026,” ujarnya.
Hentian Rawat dan Rehat (R n R)
yang terletak bersebelahan stesen minyak KODARA itu bakal menempatkan kedai runcit, restoran makanan segera dan pusat pengecasan kenderaan elektrik (EV), sekali gus menyokong inisiatif teknologi hijau negara.
Dengan hanya 612 ahli, nilai saham koperasi kini berjumlah RM6 juta dengan keseluruhan aset mencecah RM16 juta.
Tahun ini, KODARA melonjak lima anak tangga dalam senarai 100 koperasi terbaik Malaysia apabila menduduki tempat ke-18 berbanding ke-23 tahun lalu.
“Insya-Allah, dengan perancangan strategik lima tahun ini, kita yakin dapat terus memperkukuhkan kedudukan koperasi,” kata Dato’ Haji Idros penuh optimis.-SAHIH