KLIA ANTARA 10 LAPANGAN TERBANG TERBAIK
Berita Nasional
KLIA ANTARA 10 LAPANGAN TERBANG TERBAIK
SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan sebagai 10 lapangan terbang terbaik di dunia menerusi kaji selidik Quality Service Airport (ASQ).
ASQ adalah program dijalankan Airport Council International (ACI) yang menetapkan standard perkhidmatan, protokol dan garis panduan operasi untuk lapangan terbang di seluruh dunia.
KLIA memperoleh skor keseluruhan yang lebih baik iaitu 4.94 daripada 5.00 berbanding 4.69 sebelum ini, sekali gus berada di kedudukan ke-9 berbanding 17 sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, peningkatan skor berkenaan hasil daripada komitmen dan usaha berterusan yang dilakukan oleh pasukan KLIA untuk meningkatkan tahap perkhidmatan lapangan terbang yang selamat dan menggembirakan.
“Antara prestasi ditunjukkan ialah mencatat skor 5.00 untuk keseluruhan kepuasan penumpang perniagaan dan percutian, 4.99 untuk kebersihan terminal lapangan terbang dan 4.97 untuk ketersediaan bilik air.
“Saya bangga dengan prestasi ditunjukkan walaupun kita berdepan dengan cabaran dari segi keperluan operasi lapangan terbang, namun seluruh komuniti lapangan terbang menunjukkan semangat yang kuat bekerjasama dan bersama-sama mempertingkatkan prestasi perkhidmatan KLIA di mata dunia, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukrie berkata, sebagai sebahagian daripada budaya prestasi tinggi syarikat, pihaknya juga telah membentuk operasi bahagian kecemerlangan (OE) untuk melihat secara khusus titik-titik cabaran perjalanan penumpang bagi mematuhi norma baharu dan berusaha memperbaikinya dengan pantas.
“Pasukan OE memberi tumpuan kepada reka bentuk berpusatkan pelanggan berfikir dan melakukan inovasi operasi tangkas yang mendorong kepada peningkatan ini.
“Melalui OE, penumpang boleh yakin bahawa perjalanan udara mereka akan tetap bebas dan selamat. Ini akan memberi sumbangan besar untuk mengembalikan keyakinan mereka dalam perjalanan udara,” katanya.
Sumber: UTUSAN ONLINE