KLFA KECEWA DENGAN SIMON ELISSETCHE
KLFA KECEWA DENGAN SIMON ELISSETCHE
KUALA LUMPUR: Kenapa tidak bincang dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dahulu?
Itu pertanyaan yang dilontarkan Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa ketika diminta mengulas mengenai tindakan bekas jurulatih KL United, Simon Elissetche yang bertindak membuat tuntutan berjumlah RM3.5 juta ke atas pasukan itu.
Tuntutan itu dibuat atas alasan penamatan kontrak yang dibuat tanpa alasan yang munasabah selain pengendali itu didakwa memiliki lesen profesional yang tidak sah.
Bagaimanapun, Nokman berkata tawaran kontrak sebagai jurulatih itu sebenarnya ditawarkan oleh KLFA dan bukannya KL United sekali gus menyaksikan Simon perlu berjumpa dengan KLFA untuk mengadakan perbincangan.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
“Kalau kata dia ada perjanjian, maka perjanjian itu dengan KLFA dan bukan dengan KL United sebab KL United sudahpun diswastakan. Kita pun tidak pernah cakap yang dia ditolak. Tiada masalah pun kalau kita ambil dia sebagai pengarah teknikal ataupun jurulatih skuad muda.
“Dulu kita tawarkan jadi jurulatih tetapi sekarang KL United sudah diswastakan. KLFA jadi persatuan negeri (FA), jadi tiada tempat untuk dia tetapi kita boleh cari tempat lain. Mungkin jurulatih bawah 21 tahun (B-21), B-22 atau pengarah teknikal, tengoklah pada keadaan.
“Tetapi dia kena datang berbincanglah dengan kita. Sepatutnya kalau dia ada masalah, dia hubungi kita dahulu dan itulah yang sebetulnya kerana kontrak itu daripada KLFA dan bukan KL United.
“(Saman) itu saya tidak tahu dan saya kena tanya peguam sama ada boleh pakai atau kalau dia mahu lawan, lawanlah. Saya tidak boleh mengulas lanjut sebab saya pun tidak tahu apa yang berlaku.
“Kalau dia mahu saman, biarlah. Kita pun boleh buat saman tetapi pada saya, salah. Sepatutnya datang berbincang dengan KLFA baru jumpa media. Jangan bincang kemudian sebab kalau sampai ke peguam, ada yang tidak kenalah,” katanya.
Semalam, arena bola sepak tempatan dikejutkan apabila KL United bakal diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kes Simon itu.
Peguam Simon, Zhafri Aminurashid menegaskan ia adalah kes penamatan kontrak sebelah pihak di mana KL United tidak mahu meneruskan kontrak bersama Simon dengan alasan tidak munasabah.
“Jadi, kita akan mengambil dua tindakan iaitu tindakan sivil atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan mengenai kelayakan Simon yang memberi kesan kepada kariernya di mana ada pasukan yang mahukan khidmatnya tertanya-tanya kerana takut lesen tidak sah.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
“Tuntutan kedua adalah kepada FIFA di mana kes ini jelas menunjukkan berlakunya pelanggaran kontrak kerana kontrak sudah ditandatangani namun atas sebab yang hanya diketahui mereka, mereka tidak meneruskan kontrak bersama Simon, lapor BH Online.
“Kita akan meminta ganti rugi dengan anggaran RM500,000 untuk kes FIFA selain pampasan RM3 juta untuk tuntutan sivil. Simon begitu kecewa dengan perkara ini dan tidak mahu selesaikan di luar mahkamah,” kata Zhafri dalam sidang media.
Sebelum ini, laporan media menyebut KL United memutuskan mengambil jurulatih lain meskipun sudah mengumumkan pelantikan Simon selepas sijil kejurulatihan bekas pengendali Timor Leste itu didakwa tidak diiktiraf AFC.