KL UNITED DISAMAN RM3. 5 JUTA
KL UNITED DISAMAN RM3. 5 JUTA
KUALA LUMPUR: Di sebalik kesenduan Liga Malaysia (Liga M) tanpa sebarang aksi ketika ini, namun arena bola sepak tempatan dikejutkan apabila Kuala Lumpur (KL) United dikhabarkan bakal diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan isu bekas jurulatihnya, Simon Elissetche.
Malah, bukan setakat dihadapkan ke badan induk antarabangsa itu, KL United juga dijangka perlu membayar ganti rugi sebanyak RM3.5 juta secara keseluruhan selepas jurulatih daripada Chile itu ditamatkan kontrak tanpa alasan yang munasabah dan didakwa memiliki lesen profesional yang tidak sah, lapor BH Online.
Peguam kepada Simon, Zhafri Aminurashid menegaskan lesen dimiliki jurulatih itu sememangnya sah dan diiktiraf oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus menyaksikan lesen itu boleh diguna pakai.
“Ini adalah kes penamatan kontrak sebelah pihak di mana KL United tidak mahu meneruskan kontrak bersama Simon dengan alasan tidak munasabah.
“Jadi, kita akan mengambil dua tindakan iaitu tindakan sivil atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan mengenai kelayakan Simon yang memberi kesan kepada kariernya di mana ada pasukan yang mahukan khidmatnya tertanya-tanya kerana takut lesen tidak sah.
“Tuntutan kedua adalah kepada FIFA di mana kes ini jelas menunjukkan berlakunya pelanggaran kontrak kerana kontrak sudah ditandatangani namun atas sebab yang hanya diketahui mereka, mereka tidak meneruskan kontrak bersama Simon.
“Kita akan meminta ganti rugi dengan anggaran RM500,000 untuk kes FIFA selain pampasan RM3 juta untuk tuntutan sivil. Simon begitu kecewa dengan perkara ini dan tidak mahu selesaikannya di luar mahkamah,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Sebelum ini, laporan media menyebut KL United memutuskan untuk mengambil jurulatih lain meskipun mengumumkan pelantikan Simon selepas sijil kejurulatihan bekas pengendali Timor Leste itu tidak diiktiraf AFC.
Sementara itu, Simon kecewa apabila berdepan situasi terbabit kerana dia begitu bersemangat untuk berkongsi pengalaman bagi membantu KL United dalam saingan Liga M musim ini.
“Saya kecewa apabila kelab menghantar surat dengan mengatakan bahawa KL United tidak mengupah saya dan kekecewaan itu bertambah apabila mereka menyiarkan berita yang mengatakan bahawa alasan mereka tidak mengambil saya adalah kerana lesen saya tidak memenuhi syarat AFC.
“Dengan tindakan yang saya mulakan dengan peguam, saya ingin membersihkan nama saya dan menunjukkan kemampuan dan profesionalisme saya sebagai jurulatih kepada semua orang.
“Saya berharap kejadian ini tidak lagi akan terjadi kepada jurulatih lain di Malaysia,” katanya.