KKM URUS BERI VAKSIN, MOSTI KELUARKAN VAKSIN SENDIRI: PERDANA MENTERI
KKM URUS BERI VAKSIN, MOSTI KELUARKAN VAKSIN SENDIRI: PERDANA MENTERI
(Gambar: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan latihan Para Predator Siri 1 Briged 10 Para Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Batu Bor,Bera,Pahang.)
BERA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi tanggungjawab mengendalikan urusan vaksin dalam negara bagi melancarkan perjalanan dan pengurusannya berbanding sebelum ini yang melibatkan dua kementerian.
Sementara itu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada kajian penyelidikan dan pembangunan (R &D) vaksin untuk pengeluaran dalam negara seperti yang dilakukan negara Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika melibatkan dua kementerian dalam pengurusan vaksin di negara ini sedikit sebanyak menjadi kurang lancar kerana mempunyai perbezaan pandangan.
“Selepas ini hanya satu kementerian sahaja yang akan bertanggunjawab dalam urusan vaksin iaitu kementerian kesihatan, sebelum ini ada dua kementerian selain KKM dan MOSTI yang turut terlibat serta mempunyai jawatankuasa yang dipengerusikan oleh dua menteri dan dua ketua setiausaha (KSU).
“Sementara R&D vaksin perlu dipergiatkan agar negara tidak lagi bergantung kepada bekalan daripada luar negara, pengeluaran vaksin negara sendiri memberi jaminan vaksin sentiasa terjamin dan mencukupi,”katanya di Kampung Batu Bor, Chenor dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pertukaran portfolio antara Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Adham Baba selepas pengumuman barisan kabinet petang semalam.
Ketika ditanya penetapan pengambilan vaksin di kalangan kakitangan awam, beliau berkata setakat ini tiada arahan mewajibkan pengambilan vaksin dan ramai masih menunggu dan lihat untuk diberi suntikan vaksin.
“Namun, kerajaan mungkin akan mewajibkan pengambilan vaksin pada masa akan datang kerana bimbang mereka yang tidak mendapat suntikan vaksin akan mudah dijangkiti wabak Covid-19 dan seterusnya merebak kepada orang lain,” katanya.-SAHIH.