KKM BERCADANG TEMUI KUMPULAN ANTIVAKSIN
KKM BERCADANG TEMUI KUMPULAN ANTIVAKSIN
BERA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk bertemu dan memberi penerangan kepada wakil kumpulan antivaksin tetapi sehingga kini masih belum membuahkan hasil yang positif.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, cadangan mengatur pertemuan itu bertujuan bagi memberikan penerangan berkaitan kepentingan vaksin.
” Penerangan wajar diberi, saya bimbang mereka mendapat maklumat yang salah atau persepsi dan anggapan yang salah, ketika ini, tiada maklum balas daripada kumpulan antivaksin kepada saya, tiada sebarang permintan.
“Cadangan ini dikemukakan dalam sidang Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu untuk mengadakan perjumpaan dengan kumpulan antivaksin yang masih berpendirian menolak pengambilan vaksin Covid-19 yang ditawarkan secara percuma oleh kerajaan, “ katanya ketika sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Triang 2, dekat sini, hari ini.
Selain membabitkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pertemuan dirancang itu juga akan mengemukakan data klinikal yang sahih berkaitan kajian membabitkan vaksin kepada kumpulan berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai proses suntikan vaksin ketika musim tengkujuh yang dijangka melanda Pantai Timur pertengahan bulan depan, Dr Noor Azmi berkata, kira-kira 8,000 klinik swasta dan pakar sudah mendaftar untuk mengambil alih program vaksinasi selepas semua PPV ditutup.
“Sekarang pun sudah banyak PPV ditutup, PPV mega ditutup dan kita akan serahkan kepada klinik swasta untuk meneruskan proses vaksinasi, sebelum ini kita sudah ada lebih 2,000 klinik swasta berdaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan masih ada 8,000 lebih yang akan meneruskan program (vaksinasi) ini.
“Namun, program suntikan vaksin tidak akan terjejas sepanjang musim tengkujuh dan kita juga yakin dapat melengkapkan proses suntikan vaksin untuk remaja pada 21 November ini, walaupun kebanyakan PPV sudah ditutup, orang ramai yang masih belum menerima suntikan vaksin dengan mengunjungi klinik kesihatan, ” katanya. –SAHIH.