KILANG YANG DEGIL BEROPERASI TANPA KEBENARAN AKAN DIAMBIL TINDAKAN TEGAS
KILANG YANG DEGIL BEROPERASI TANPA KEBENARAN AKAN DIAMBIL TINDAKAN TEGAS
BERA: Kilang yang tidak tersenarai dan tidak dibenarkan untuk beroperasi digesa memberhentikan segera operasi masing-masing, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas dan tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun.
Kementerian Pertahanan memberi amaran kepada kilang-kilang yang tidak tersenarai dan masih terus beroperasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta terus bersikap berdegil agar segera menghentikan operasi mereka.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, diharap kilang yang tidak dibenarkan jangan berdegil, mohon kilang tersebut hentikan operasi.
“Hanya kilang pengeluaran makanan harian seperti minyak masak, gandum, beras dan susu bayi serta kilang yang mengeluarkan jenis ubat yang ditentukan sahaja dibenarkan beroperasi.
“Kementerian saya tidak berkompromi dengan kilang-kilang yang masih berdegil beroperasi biarpun mendapat kebenaran daripada kementerian lain,” katanya.
Katanya, pasukan pemantau operasi pematuhan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan memantau operasi kilang melalui Ops Patuh SOP di setiap kawasan PKPD.
“Tindakan tegasnya seperti menutup kilang yang degil dan masih meneruskan operasi tanpa kebenaran, kita tidak beri muka, mana-mana kilang yang masih mengengkari dengan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama di kawasan PKPD.
“Di kawasan PKPD, hanya beberapa jenis kilang sahaja yang mengeluarkan produk makanan harian seperti minyak masak, gula, gandum, beras, susu bayi selain beberapa kilang yang sudah ditentukan, lain-lain kilang tiada dalam senarai tidak dibenarkan,” katanya selepas Lawatan Kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bera, Pahang.
Sementara itu, di Bera, seramai 77,900 penduduk yang layak menerima suntikan vaksin, namun setakat ini hanya 48,346 daripadanya yang telah mendaftar suntikan vaksin. Ketika ini sukarelawan terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan ( NGO) telah digerakkan bagi membantu penduduk yang berada di pedalaman mendaftar vaksin secara manual.-SAHIH.