KILANG JADIKAN PPV UNTUK BERI VAKSINASI KEPADA PEKERJA SENDIRI
KILANG JADIKAN PPV UNTUK BERI VAKSINASI KEPADA PEKERJA SENDIRI
INI UNTUK MENGELAK BERLAKU KESESAKAN DI PPV SEDIA ADA
BERA: Semua pemilik kilang yang mempunyai pekerja asing diminta menjadikan kilang mereka sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mengelakkan berlaku kesesakan di PPV sedia ada.
Perkara ini telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkaitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PPV yang bakal diadakan di kilang masing-masing itu bagi mengelak berlakunya kesesakan di PPV sedia ada seperti yang ditularkan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil yang melibatkan pekerja asing, baru-baru ini.
Katanya, pihak kilang juga dicadangkan membeli sendiri vaksin untuk pekerja mereka dan memberi suntikan vaksin di dalam kawasan kilang masing-masing.
“Cara begini akan segera mempertingkatkan bilangan pekerja masing-masing sehingga 80 peratus pekerja mereka yang sudah lengkap dua dos dan kilang itu akan dibenarkan beroperasi.
“Kilang-kilang yang mempunyai pekerja asing, jadikan kilang mereka sebagai tempat pemberian vaksin, oleh itu pekerja asing ini tidak payah keluar untuk beratur di stadium, dibimbangi akan membabit kluster Stadium Bukit Jalil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan latihan Para Predator Siri 1 Briged 10 Para Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Batu Bor, Bera,Pahang.
Katanya, pemberian vaksin secara pandu lalu juga perlu diadakan, selain menjimatkan kos turut menyegerakan proses pemberian vaksinasi.
Kira-kira 1,900 pegawai dan anggota bersama 150 aset logistik terbabit dalam latihan selama 14 hari itu.
Turut hadir, Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang ; Panglima Tentera Darat,Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan kajian sedang dilakukan bagi menyediakan pencen secara prorata kepada semua pegawai dan anggota ATM yang sudah menamatkan perkhidmatan mereka.
“Kebajikan bekas pegawai dan anggota ATM diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan melalui skim sebelum ini apabila mereka berhenti sebelum cukup tempoh ditetapkan, mereka tidak menerima pencen,” katanya.-SAHIH.