Khidmat penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan masih ditagih
Khidmat penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan masih ditagih
Foto atas: Penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.
JERANTUT – Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah gusar kerana penyandang kerusi Parlimen Jerantut (P081) tidak memberi sebarang isyarat sehingga kini, malah telefon bimbitnya tidak dijawab dan sukar dihubungi.
Ketua Bahagian itu, Nazri Ngah berkata, penyandang parlimen itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang telah memenangi dua kali Pilihan Raya Umum (PRU) tidak dipastikan lagi akan perancangan pendiriannya untuk PRU ke-15 ini.
Nazri yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar (N11 ) berkata, UMNO Jerantut masih memerlukan khidmatnya di Parlimen kerana dialah yang paling layak meneruskan perkhidmatan untuk rakyat selepas PRU-15.
“Beliau disifatkan oleh penyokong UMNO sebagai seorang ‘winnible candidate’ dan mampu berdepan dengan pembangkang, desas-desus menyatakan Pas bakal meletakkan tokoh tertinggi dalam parti tersebutdan bertanding di parlimen ini.
“Penyandang Ahmad Nazlan pernah menyatakan beberapa kali tidak mahu bertanding kepada Pengerusi BN Pahang dan peringkat tertinggi UMNO Pusat dan hal tersebut sudah diuar-uarkan dalam kalangan pemerhati politik di Jerantut,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Mat Kilau di sini, semalam.
Katanya, diharapkan Ahmad Nazlan meneruskan khidmatnya kerana di peringkat akar umbi masih memerlukannya dan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Jerantut dan penyokong masih mahu beliau bertanding.
Ahmad Nazlan sudah dua penggal sebagai Ahli Parlimen setelah memenangi PRU13 dengan mengalahkan calon Pas, Dr Hamzah Jaafar dengan undi sebanyak 26,544, manakala lawannya cuma mendapat 22,012 undi membolehkan BN memperoleh majoriti 4,532.
PRU14, beliau sekali lagi memenangi kerusi Parlimen dalam PRU14 dengan memperoleh 22,640 undi setelah mengalahkan calon Pas, Yohanis Ahmad (16,732 undi) dan calon PKR, Wan Mohd Shaharir Wan Adul Jalil (10,877 undi) dengan majoriti 5,908 undi.
“Berasaskan majoriti yang diperoleh dalam dua PRU yang lalu, beliau adalah calon “winnible candidate” kerana kekuatan auranya mampu mengulangi kemenangan dengan peningkatan (majoriti) yang tinggi,” katanya.-SAHIH.