Khemah Program Jualan Keluarga Malaysia diserbu
Khemah Program Jualan Keluarga Malaysia diserbu
JERANTUT – Pengguna menyifatkan harga barang keperluan dapur ‘terlajak murah’ yang dijual di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang diadakan selama dua hari yang berakhir hari ini memberikan penjimatan khususnya di kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Kira-kira 1,400 orang pengguna membanjiri program itu di bawah penyelenggaraan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) cawangan Jerantut di Pasar Raya TF bandar Inderapura, di sini hari ini.
Khemah PJKM diserbu seawal 30 minit sebelum jualan bermula pada jam 10 pagi hingga 5 petang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal serta dipantau petugas pasar raya tersebut.
Dalam kenyataan pihak pengurusan Pasar Raya TF di sini, antara barang dapur yang terlajak murah dan dijamin segar, iaitu ikan saba satu kilogram berharga RM8.49/kg, ikan pelaling (RM10.99/kg), ayam (RM7.99/kg), susu Saji (RM1.99), milo (RM14.99/kg) dan pelbagai jenis barang keperluan dapur sesuai untuk pengguna menjimatkan perbelanjaan.
Ketua Cawangan KPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, kemudahan jualan barang keperluan dapur di PJKM memberikan keselesaan penduduk daerah ini berbelanja dengan kadar 20 peratus rendah berbanding harga di pasaran.
“Kita dapati sambutan pengguna berbelanja di sini amat menggalakkan terutamanya pemilihan barang keperluan utama seperti ayam, telur, ikan dan sebagainya kerana stok jualan di pasar raya ini mencukupi.
“PJKM ini yang lancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember tahun lalu cukup signifikan bagi golongan berpendapatan rendah berbelanja dengan lebih menjimatkan barang keperluan dapur yang segar,” katanya di sini hari ini.
Suri rumahtangga, Norliza Ishak, 45, berkata, sewajarnya program seperti ini perlu diteruskan terutama menjelang sambutan hari perayaan yang memerlukan barang keperluan dapur untuk tempoh dua minggu.
“Sebagai seorang suri rumahtangga memang mengharapkan barang yang dibeli dengan lebih murah lebih lagi meringankan beban suami yang cuma berpendapatan kecil setiap bulan.
“Usaha KPDNHEP Pahang amat dipuji kerana cukup cakna dengan dengan kebajikan penduduk berpendapatan rendah dan pengguna lain ketika ini berdepan tekanan kenaikan harga barang,” katanya.-SAHIH.