Khalizan hidup pindah randah, Ahli Parlimen Lipis sumbang rumah PPRT
Khalizan hidup pindah randah, Ahli Parlimen Lipis sumbang rumah PPRT
LIPIS: Ahmad Khalizan Mohamed, 62 tahun yang sering berlegar-legar di sekitar bandar Lipis bersama sebuah motosikal berwarna biru bersama isterinya, Syarifah dan kadang-kala membunyikan hon yang menarik daripada motosikalnya memang dikenali oleh penduduk bandar Lipis.
Hari ini, dia amat bertuah menerima sebuah rumah Program Rumah Rakyat Termiskin (PPRT) yang disumbangkan oleh Pejabat Ahli Parlimen Lipis yang menyerahkan sebuah rumah kepada dia dan keluarganya yang sebelum ini tidak memiliki rumah.
Dia yang hanya mengambil upah dengan memberi khidmat bantu memindahkan barang-barang rumah kepada yang berpindah rumah serta melakukan pelbagai kerja buruh untuk menyara keluarganya.
Ahmad yang mempunyai dua orang cucu lelaki, seorang kurang upaya (OKU) berusia 16 tahun dan 8 tahun turut tinggal bersamanya.
Sebelum ini, dia hidup menyewa dan berpindah randah sekitar bandar Lipis sebelum menerima rumah daripada pejabat Ahli Parlimen Lipis.
Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad terpanggil untuk menyediakan sebuah rumah untuk Khalizan di Kampung Ulu Teris, dekat sini.
Wakil Ahli Parlimen Lipis itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri KPLB, Mohd Zakwan Abdullah menyampaikan kunci rumah tersebut dan turut disertai Pegawai Giat Mara Daerah Lipis, Yusmadie Yusof.
Mohd Zakwan berkata, Ahli Parlimen Lipis amat prihatin dengan masalah rakyat di dalam kawasan parlimennya, oleh itu rumah PPRT disediakan kepada yang memerlukan termasuk Khalizan.
“Hari ini saya mewakili Datuk Seri yang berada di ibukota menghadiri persidangan parlimen, utnuk menyampaikan kunci rumah ini.
“Oleh kerana Khalizan tidak sabar untuk menduduki rumah yang sudah siap itu, Datuk Seri mengarahkan saya untuk menyerahkan kunci rumah ini,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, Datuk Seri Abdul Rahman akan ke rumah itu ketika berada di daerah ini.-SAHIH.