Khalib Pertikai Pemecatan Hamzah, Dakwa Lembaga Disiplin Tidak Demokratik
Khalib Pertikai Pemecatan Hamzah, Dakwa Lembaga Disiplin Tidak Demokratik
KUANTAN – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah, menyifatkan keputusan Lembaga Disiplin parti itu memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebagai terburu-buru dan menimbulkan pelbagai persoalan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rompin berkata, beliau bersama 10 ketua bahagian di negeri ini melahirkan rasa terkilan terhadap keputusan berkenaan yang disifatkan tidak mencerminkan semangat demokrasi dalam parti.
Menurutnya, tindakan itu seolah-olah menggambarkan Bersatu tidak boleh ditegur atau dipersoalkan oleh ahli sendiri.
“Kami melihat tindakan Lembaga Disiplin ini seperti dibuat tanpa proses yang benar-benar telus. Kadang-kadang tiada siasatan terperinci, terus dipanggil dan dibuat keputusan.
“Seolah-olah parti ini tidak boleh disentuh. Jika ada yang bersuara atau memberi pandangan berbeza, terus dikenakan tindakan.
“Maknanya tiada ruang demokrasi dalam parti, ahli tidak boleh bersuara atau memberi pandangan,” katanya dalam kenyataan yang turut disertai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Asmawi Harun.
Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis bertarikh 13 Februari 2026 memaklumkan Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat berkuat kuasa serta-merta kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Keputusan itu dibuat di bawah Fasal 22.5 selepas lembaga berkenaan bersidang pada 12 Februari lalu. Hamzah diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti.
Datuk Seri Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat sebelum ini dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan ketika Perhimpunan Agung Tahunan parti serta dakwaan mencemar institusi kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Abdul Khalib berkata, beliau dimaklumkan Datuk Seri Hamzah berada di luar negara bagi menguruskan kemasukan anaknya ke universiti dan tidak dapat menghadiri prosiding berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Hamzah termasuk dakwaan gagal mengawal tindakan individu tertentu.
“Adakah tugas Timbalan Presiden untuk mengawal setiap individu? Jika ukuran itu digunakan, bagaimana pula penilaian terhadap kepimpinan lain?” katanya.
Selain Datuk Seri Hamzah, beberapa lagi pemimpin parti turut dilaporkan dipecat termasuk Yunus Haji Nordin (Ahli MPT), Fathul Huzir Ayob (Ahli Parlimen Gerik), Azahari Hasan (Ahli Parlimen Padang Rengas), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Ahli Parlimen Machang), Ahmad Nasir Mid (Ketua Bahagian Selayang) dan Abdul Aziz Ismail (Ketua Bahagian Dungun).-SAHIH
