KHABAR GEMBIRA UNTUK PENEROKA
Berita Nasional
KHABAR GEMBIRA UNTUK PENEROKA
JERANTUT: Kenaikan harga minyak kelapa sawit mentah (CPO) di pasaran menjadi khabar gembira buat peneroka khususnya di Wilayah Jengka, Pahang, dekat sini.
Kenaikan CPO melebihi RM3,000 satu tan sejak Jumaat lalu, bagaimanapun sedikit merisaukan peneroka kerana ia menandakan hasil buah kelapa sawit dalam proses melawas.
Peneroka FELDA Jengka 7, Ahmad Zubir Abdul Rahim, 62, menjelaskan bahawa hasil buah kelapa sawit sedang menurun kerana musim melawas dan perkara itu sedang dihadapi peneroka di hampir semua tanah rancangan ketika ini.
“Memang harga tengah naik tapi sekarang buah tengah melawas, jadi kesannya tidak banyak berubah.
“Masa hasil buah banyak… harganya tidak naik, jadi dengan potongan hutang yang kami masih hadapi, kenaikan ini memberi sedikit kesan kepada pendapatan semasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud, 60, berharap kenaikan harga CPO ini dapat dikekalkan dan tidak merudum seperti terdahulu.
“Kenaikan ketika ini agak tinggi dan memang ditunggu-tunggu semua peneroka di seluruh negara.
“Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan atas usaha memasarkan semula minyak kelapa sawit kita kepada negara luar seperti India, China dan beberapa lagi negara.
“Kita juga berharap harga ini bukanlah kerana adanya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Idris Shah Musa, 69, dari Felda Ulu Jempol menyifatkan perubahan kerajaan juga memberikan impak positif berbanding sebelum ini.
Pada Ogos lalu, media melaporkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) optimis bahawa harga minyak sawit mentah (MSM) akan mencecah antara RM2,500 dan RM2,600 satu tan metrik menjelang akhir tahun ini.
Semalam dilaporkan harga minyak sawit mentah melepasi RM3,000 satu tan pada 18 September lalu berbanding hanya sekitar RM2,400 pada awal Mac lepas.