KGMMB SOKONG USAHA NTV7, KPM
MENAMBAH AKSES PENDIDIKAN SECARA MAYA
KUALA LUMPUR : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyokong penuh dan berterima kasih kepada pihak Media Prima Berhad (MPB) yang berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan lagi akses pendidikan kepada murid di seluruh negara.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata kerjasama seperti ini amat berfaedah ketika murid tidak dapat hadir ke sekolah untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka setelah diarahkan untuk bercuti bagi membenteras penularan wabak COVID-19.
“Tepat pada masanya program seperti ini diadakan, ketika murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara terus sebaliknya mereka belajar hanya melalui maya yang dikendalikan pihak guru dan sekolah masing-masing.
“Kerjasama KPM dan MPB ini adalah inisiatif tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang sebelum ini disiarkan menerusi saluran TV Okey, RTM dan saluran Tutor TV di Astro,” katanya ketika dihubungi SAHIH.
Katanya, usaha KPM menurut kenyataan medianya, slot program TV Pendidikan ini merupakan usaha membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran, terutamanya ketika lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Beliau berharap murid mengambil kesempatan menggunakan akses itu bagi meningkatkan kefahaman di samping dibantu oleh ibu bapa masing-masing yang dikenali sebagai DidikTV@NTV7 yang disiarkan di saluran NTV7.
“Sebagai permulaan, slot TV Pendidikan di saluran NTV7 akan mula bersiaran pada 23 November ini sehingga 31 Disember depan selama tiga jam pada setiap Isnin hingga Jumaat dan waktu siarannya pula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, “ katanya.
Tambahnya, jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.