KGMMB SOKONG DIDIK TV KPM
KGMMB SOKONG DIDIK TV KPM
KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyokong penuh usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari ini.
Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik berkata inisiatif mewujudkan saluran khusus untuk pendidikan itu adalah usaha berterusan kementerian pendidikan dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk murid di seluruh negara.
“Tepat pada masanya, saluran TV pendidikan seperti ini diperlukan demi membantu murid di seluruh negara mendapat akses pembelajaran melalui televisyen di rumah ketika wabak Covid-19 melanda seluruh dunia.
“Mengikuti pendidikan melalui atas talian memang bagus tetapi terdapat kekangan di kalangan murid dan keluarga yang tidak berkemampuan menyediakan peranti dan liputan internet yang baik terutama di kawasan yang di luar liputan dan capaian internet,” katanya.
Katanya, DidikTV KPM seperti ini memudahkan pengajaran samada boleh dilakukan di sekolah atau di rumah masing-masing kerana dijangka semua keluarga memiliki televisyen dan mudah mendapat capaian siaran.
“Sebelum ini, KPM menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7 tetapi kini melalui Didik TV boleh diikuti mulai jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari,” kata.
Jasni berkata, diharap ibu bapa dapat membimbing murid mengikut penjadualan yang bakal disediakan, manakala apabila sesi persekolahan dibenarkan guru boleh menjadikan kemudahan siaran TV itu sebagai nilai tambah dalam pengajaran di dalam kelas.