KGMMB SETUJU CALON SPM HADIR KE SEKOLAH
KGMMB SETUJU CALON SPM HADIR KE SEKOLAH
ALOR SETAR: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) bersetuju serta turut memberi khabar gembira kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun 2021 untuk hadir ke sekolah.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, pelajar yang menduduki peperiksaan SPM tahun ini dibenarkan hadir ke sekolah, termasuk di negeri dan wilayah persekutuan yang dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Katanya, pengumuman itu telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berharap prosedur operasi standard (SOP) akan dikenakan serta perincian akan diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
“Namun, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021 perlu mengikut SOP yang diarahkan.
“Diharap guru menitik-beratkan SOP agar penularan wabak dapat dicegah disamping memberi keutamaan kepada calon peperiksaan dapat mengikuti kelas secara bersemuka dengan selesa dan selamat,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya memaklumkan pelajar tingkatan lima tahun 2020 yang dijadual menduduki peperiksaan SPM pada Februari ini perlu hadir ke sekolah seperti biasa apabila sesi persekolahan dibuka semula 20 Januari ini.
“Ini masanya yang ditunggu-tunggu oleh calon peperiksaan umum berpeluang kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka sebelum kumpulan tersebut berdepan peperiksaan besar.
GAMBAR HIASAN
“Diharap warga pendidik memberi sepenuh tenaga kepada anak-anak calon peperiksaan dan turut menjaga keselamatan masing-masing,” katanya.