KGMMB SAMBUT BAIK SESI PERSEKOLAHAN DITANGGUHKAN
KGMMB SAMBUT BAIK SESI PERSEKOLAHAN DITANGGUHKAN
ALOR SETAR: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyambut baik penangguhan sesi persekolahan secara bersemuka yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, hari ini.
Menterinya berkata, sekolah sepatutnya dibuka semula pada 1 September, ditangguhkan ke 3 Oktober depan, bagaimanapun sekolah akan dibuka secara berperingkat bermula dengan mengutamakan kelas peperiksaan.
Katanya, penangguhan pembukaan sesi persekolahan itu dilewatkan selepas pihaknya meneliti situasi perkembangan semasa membabitkan penularan COVID-19 di seluruh negara.
Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik berkata, penangguhan itu wajar kerana ia dibuat selepas mengambil kira keselamatan para pelajar dan kebimbangan ibu bapa.
“Terdapat soal-selidik yang ditularkan sebelum ini untuk mendapat pandangan daripada penelitan semasa pandemik, Kementerian Pendidikan (KPM) telah buat ketetapan bahawa pembukaan semula sekolah dilewatkan sedikit ke tarikh 3 Oktober 2021.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada kerajaan dan kementerian pendidikan kerana peka dengan keadaan semasa pandemik yang menjadi kerisauan semua pihak khususnya ibubapa,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), menyatakan tidak ada sekolah yang akan dibuka untuk negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), oleh itu proses pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) dijalankan secara maya.
“Diharapkan semua guru bersedia dengan proses PdPR dengan sebaik mungkin setelah pandemik berlaku sejak tahun lalu, pengalaman selama berdepan wabak ini turut memberi pengalaman baharu termasuk bidang pendidikan,” katanya.-SAHIH.