KGMMB sambut baik pendidikan percuma PTPTN.
KGMMB sambut baik pendidikan percuma PTPTN.
JERANTUT : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan pendidikan percuma kepada anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026.

Presidennya, Mohd Sobri Yusuf, berkata langkah yang membabitkan peruntukan RM120 juta setahun itu memberi kelegaan besar kepada 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM2,705 sebulan, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha membasmi kemiskinan melalui pendidikan.
“Inisiatif ini sangat signifikan kerana memberi peluang kepada anak-anak daripada golongan B40 menamatkan pengajian tanpa terbeban dengan hutang. Ia juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
“Kesatuan berpendapat keputusan kerajaan mengecualikan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana amat disanjung,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, langkah itu, dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun, selaras dengan usaha kerajaan menghargai kecemerlangan akademik.
“Pada masa sama mencadangkan supaya kerajaan memberi perhatian kepada pelajar yang lemah dari segi akademik dengan memperluaskan program latihan kemahiran dan bimbingan akademik di institusi pengajian tinggi.
“KGMMB berharap pelajar yang kurang cemerlang turut diberikan peluang memperkukuh kemahiran insaniah dan vokasional agar mereka mampu bersaing di pasaran kerja selepas tamat pengajian,” katanya.
Katanya, pengumuman Perdana Menteri, ketika membentangkan belanjawan itu menegaskan dasar berkaitan PTPTN kini bukan sekadar soal kutipan hutang, sebaliknya sebahagian daripada agenda pembasmian kemiskinan pendidikan bagi memastikan tiada pelajar tercicir disebabkan kekangan kewangan.-SAHIH.
