KGMMB kesal ahli politik dakwa ada Little Napolean dalam Pendidikan
KGMMB kesal ahli politik dakwa ada Little Napolean dalam Pendidikan
JERANTUT : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) kesal dengan kenyataan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah menyatakan berlaku arahan ‘Little Napolean” dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang merugikan.
Presidennya, Juhari Mohamad Nor berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli politik tersebut amat dikesali dengan menyalahkan pihak tertentu kerana membatalkan beberapa program yang berkaitan dengan pendidikan yang sepatut dihadirinya dibatalkan di saat akhir.
Katanya, ADUN tersebut menyatakan sebuah sekolah di Jerlun menjemput beliau untuk memberi ceramah berkaitan dengan program motivasi kepada murid yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Setelah diteliti kenyataan ADUN itu melalui satu klip video yang ditularkan amat tidak adil kerana menyalahkan pihak pentadbir sekolah atau penganjur program yang diadakan membatalkan kehadirannya.
“KGMMB kesal dakwaan itu turut menuduh berlaku “Little Napolean” berlaku di peringkat pentadbiran di peringkat negeri Kedah dan juga di pusat,” katanya.
Katanya, mendakwa pentadbir sekolah tersebut telah diminta memberi surat tunjuk sebab kerana menjemput beliau memberi ceramah motivasi di sekolah itu perlu selari pekeliling sedia ada yang telah diamalkan sebelum ini.
“Diharapkan semua pihak perlu menghormati prosedur yang ditetapkan oleh pihak jabatan dan kementerian dan perlu diikuti.
“Sepatutnya pihak penganjur perlu faham apabila program yang melibatkan penjawat awam seperti guru perlu dielakkan daripada menjemput wakil parti pembangkang kerana penjawat awam seperti guru tertakluk kapada arahan atau pekeliling sedia ada seperti semasa Perikatan Nasional (PN) memerintah,” katanya.- SAHIH.