KGMMB: GURU LAKSANA TUGAS DENGAN DEDIKASI DAN CEKAP
KGMMB: GURU LAKSANA TUGAS DENGAN DEDIKASI DAN CEKAP
KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) memohon semua guru terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi serta cekap mendepani cabaran masa kini dengan kaedah pengajaran dari rumah (PdPR) dengan rasa tanggung jawab yang tinggi.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, keadaan norma baharu sejak penularan Covid-19 tahun lalu sebagai satu kejutan kepada hampir setengah juta guru di tanah air untuk melaksanakan PdPR dalam keadaan tidak bersedia di peringkat awalnya.
“Namun, insan guru cepat menangani keadaan untuk terus melaksanakan tanggung jawab kepada anak didik masing-masing agar tidak ketinggalan dalam pendidikan tanpa jemu.
“Maka, muncul pelbagai kaedah penyampaian melalui atas talian dengan inisiatif dan inovasi guru sendiri untuk melaksanakan tanggung jawab dengan keringat dan kewangan sendiri bagi mencukupi peralatan PdPR, syabas semua guru,”katanya.
Katanya, beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang turut mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan penyiaran TV pendidikan melalui DIDIK TV dan turut dipelopori oleh guru sendiri.
“DImaklumkan DIDIK TV mula mendapat tempat di kalangan guru dan juga anak didik untuk menambah input pembelajaran.
“Guru juga turut saling melengkapi pengajaran masing-masing, malah terdapat guru mula mengumpul bahan mata pelajaran dengan cara masing-masing untuk disampaikan kepada anak didik secara atas talian,”katanya.
Beliau juga mengucapkan Selamat Hari Guru yang bertemakan, Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu bertepatan dengan keadaan semasa yang dihadapi.- SAHIH.