Keunikan keturunan Sanggi@Sagi
Foto atas : Keluarga Sanggi@Sagi membabitkan tiga kaum iaitu Dusun Tindal, Bajau Sama dan Kadazan-Dusun berkumpul pada program Hari Keluarga di Kampung Labuan, Kota Belud, Sabah, baru-baru ini.
Keunikan keturunan Sanggi@Sagi
KOTA BELUD – Hari Keluarga Sanggi@Sagi sesuatu yang unik apabila berjaya menyatukan susur galur keturunan berbilang kaum dan berbeza agama yang diadakan di Kampung Labuan, Kota Belud, Sabah, baru-baru ini.
Sanggi@Sagi berbangsa Dusun Tindal, etnik dalam rumpun Kadazan-Dusun, namun zuriatnya berkembang kepada tiga etnik terbesar di daerah berkenaan, iaitu Bajau, Kadazan-Dusun dan Iranun.
Hal ini demikian kerana berlaku kahwin campur dalam kalangan anak-anak yang dianggarkan sejak 150 tahun lalu.
Walaupun susur galur keturunannya berbilang kaum dan berbeza agama itu, namun hubungan kekeluargaan mereka berkekalan sehingga kini yang terbukti menerusi sambutan hari keluarga diadakan itu.
Pengerusi Keluarga Sanggi@Sagi, Badery Suod, berkata tiga anak Sagi memeluk Islam, iaitu Gebak@Lebak, Selungkoi@Ekoi dan Yakoi@Indoi, manakala tiga lagi kekal dengan agama asal.
Katanya, zuriat Lebak@Gebak Sanggi majoritinya menetap di Kampung Tamau, Lilud, Pintasan, Kayu Putih dan Rampayan Ulu di Kota Belud dengan sebahagian besarnya etnik Iranun.
Menurut beliau, keturunan Solungkoi@Ekoi pula majoritinya menetap di Kampung Labuan, Jawi-Jawi dan Lebak Engad di Kota Belud, selain Bengkongan, di Kota Marudu, Kanibongan di Pitas, Darau dan Menggatal yang majoritinya Bajau Sama.
“Keturunan Yakoi@Indoi pula majoritinya menetap di Kampung Pantai Emas yang kebanyakannya Iranun, walaupun berbeza kaum dan agama, namun hubungan kekeluargaan terus berkekalan.
“Sambutan Hari Keluarga kali kedua 2023 menjadi platform penyatuan keluarga besar Sanggi@Sagi,” katanya berucap pada majlis hari keluarga berkenaan di Kampung Labuan. Badery adalah daripada etnik Bajau Sama.
Manakala Penasihat Keluarga Sanggi@Sagi, Ladim Abdul Rahman, berkata, tiga lagi anak Sanggi@Sagi memilih kekal tinggal di Kampung Rosok, iaitu kampung asal mereka.
“Mereka adalah keturunan Tingangau, Tianggah dan Sanggong yang berbangsa Dusun Tindal, iaitu kaum asal moyang kami sebelum berkembang kepada etnik Bajau Sama dan Iranun,” ujarnya yang berbangsa Iranun.
Sementara itu, bagi Laimin Lihanan yang berbangsa Dusun Tindal, hubungan kekeluargaan perlu dipertahan walaupun berbeza kaum dan agama.
“Kebanyakan jurai keturunan Sangg@Sagi sekarang adalah generasi ketiga dan keempat,” katanya. – SAHIH.