KETUKAN MISTERI DI JERANTUT FERI
JERANTUT : Dua buah kediaman di Kampung Perias, Jerantut Feri, di sini terlibat dengan ketukan misteri, kelmarin.
Menurut seorang pembantu kedai, Siti Fatimah Ghazali, 37, bekata, dia mendengar ketukan itu ketika dia sedang melayari media sosial mengenai kejadian berkenaan di biliknya kira-kira 9 malam.
“Saya memang mengetahui kejadian itu di Selangor dan Melaka melalui media sosial dan akhbar. Ketika ketukan berlaku saya sedang melayari Facebook dan membaca mengenai misteri itu.
“Saya berharap semoga tiada kes seperti itu berlaku di kampung saya, namun tiba-tiba terdengar bunyi ketukan di pintu. Saya tidak membuka pintu kerana takut dan terus berselimut,” katanya.
Tambahnya, ketika kejadian itu, dia tinggal seorang diri manakala dua anaknya berusia 16 tahun sedang bekerja dan seorang lagi berusia 12 tahun berada di rumah jiran.
Perkara sama turut berlaku di rumah jirannya, Habibah Sulong, 57.
Habibah berkata, kejadian ketukan selama lima minit kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika dia dan suami, Jamaludin Sulaiman, 61, serta tiga anaknya berada di dalam rumah.
Katanya, mereka hanya terfikir remaja nakal di kampung itu mengetuk pintu tetapi tiada sesiapa di depan rumah selepas diintai.
“Kami ada berbau sesuatu yang amat busuk seperti bangkai,” jelasnya.
Beliau memberitahu, selepas ketukan berakhir suami dan anak-anaknya membuka pintu dan tiada kelibat atau kesan kehadiran tetamu atau individu tetapi masih meninggalkan bau busuk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis mengenai dua kejadian tersebut.