KETUKAN MISTERI ADA UNSUR SIHIR, MAKHLUK HALUS
TIDAK TOLAK KEMUNGKINAN, TAPI JANGAN BUAT ANDAIAN
KUALA LUMPUR: Tokoh agama tidak menafikan kemungkinan ada unsur sihir dan makhluk halus dalam kes ketukan pintu misteri tengah malam di beberapa kampung di Sabak Bernam, Selangor.
Bagaimanapun, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman meminta umat Islam tidak membuat andaian, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kesahihannya.
MUFTI Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman
“Kita tak tahu manusia ke, syaitan ke, hantu… namun (gangguan) hantu dan syaitan ini boleh berlaku. Jarang sebenarnya (gangguan hantu atau syaitan) tapi bagi saya, kena siasat, pastikan (punca) sebenar daripada apa.
“Walau macam mana pun, bila berlaku perkara sebegitu, dalam Islam apabila ada berita, kita kena siasat kesahihan, apa yang berlaku.
“Kita jangan terus (buat andaian)… tapi, kita tak nafikan, kemungkinan ada unsur-unsur sihir dan makhluk halus,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian itu yang berlarutan sejak tiga malam lalu di beberapa kampung di daerah tersebut.
Bunyi ketukan itu menimbulkan persoalan dan misteri dengan pelbagai ulasan daripada netizen, antaranya mendakwa ada individu tidak bertanggungjawab sengaja melakukan perbuatan itu hingga tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.
Gangguan ketukan itu berlaku pada waktu malam hingga awal pagi dan membabitkan beberapa kampung seperti Kampung Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting.