Ketua UMNO Jerantut : Semua Ahli Parti Adalah Calon Potensi PRU Akan Datang
Ketua UMNO Jerantut : Semua Ahli Parti Adalah Calon Potensi PRU Akan Datang
JERANTUT – “Setiap ahli UMNO adalah calon,” demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Jerantut , Haris Salleh , ketika mengulas soal pencalonan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut beliau, penentuan calon bukan lagi isu utama kerana apa yang lebih penting adalah gerak kerja dan kesungguhan seluruh jentera UMNO untuk memastikan kemenangan parti.
“Kita dah letakkan calon dari awal lagi. Setiap orang UMNO adalah calon yang berpotensi. Maka setiap ahli mesti bekerja keras dan memastikan parti menang. Soal siapa jadi calon, itu terpulang kepada pucuk pimpinan,” katanya ketika ditemui pada program Lambayan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Jerantut , di Pulau Tawar .
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap ahli harus patuh kepada keputusan parti kerana mereka adalah “orang parti”.
“Kita mesti terima ketetapan parti, kerja untuk parti dan akur dengan segala keputusan yang dibuat. Saya optimis kita mampu rampas semula keempat-empat kerusi yang sebelum ini jatuh ke tangan pembangkang,” katanya yakin.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding, beliau menjelaskan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan pimpinan.
“Saya serah pada pucuk pimpinan. Kalau diarah bertanding, saya bersedia. Kalau diminta fokus kepada menguatkan parti, saya akur. Yang penting, kerja saya adalah untuk rakyat, demi rakyat,” katanya lagi.
Program Lambayan Aidilfitri yang diadakan di Dewan Gelari Mat Kilau, Pulau Tawar, Jerantut menyaksikan kehadiran kira-kira 2,000 tetamu.
Majlis itu turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Jerantut , Pemuda , Puteri UMNO dan Ketua Wanita UMNO Bahagian, yang bersama menganjurkan sambutan berkenaan.
“Alhamdulillah, sambutan sangat meriah walaupun Syawal sudah berlalu. Ini bukti kekuatan ukhuwah dalam UMNO,” tambahnya.-SAHIH