Ketua Pemuda UMNO Didakwa Berlagak ‘Samseng’
Ketua Pemuda UMNO Didakwa Berlagak ‘Samseng’
KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang didakwa mengajak seorang individu bertumbuk mengundang kritikan keras apabila dianggap berperangai seperti ‘samseng tepi jalan’.
Seorang individu berusia 52 tahun mendakwa Akmal, yang juga memegang jawatan setara naib presiden parti itu, tidak sepatutnya menunjukkan sikap kebudak-budakan sehingga sanggup mencabar orang bertumbuk.
“Saya pelik macam mana Ketua Pemuda UMNO boleh berperangai begini, seolah-olah pembuli. Dia ajak saya bertumbuk sedangkan dia masih muda, bertubuh besar dan bertenaga.
“Dia tahu kalau berlawan fizikal dia boleh menang mudah. Kalau nak lawan di mahkamah, saya tiada masalah, tetapi bukanlah dengan cara kebudak-budakan seperti ini,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu tidak mencerminkan kewibawaan seorang pemimpin muda yang sepatutnya menjadi contoh kepada ahli parti.
“Memegang jawatan penting dalam UMNO bukannya lesen untuk berlagak samseng. Sepatutnya dia membawa imej matang, bukannya ajak orang bergaduh di tepi jalan.
“Kalau benar yakin dengan hujah, lawanlah secara profesional di gelanggang politik atau di mahkamah, bukan dengan tumbuk-menumbuk,” katanya lagi.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada cabaran terbuka Dr Akmal terhadapnya, namun beliau menegaskan tidak akan melayan provokasi tersebut.
“Jawatan yang setara naib presiden UMNO sepatutnya dihormati, tetapi dengan perangai seperti ini, ia menjatuhkan maruah parti sendiri,” katanya.
Insiden berkenaan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ahli politik dan orang ramai, yang menganggap perbalahan terbuka itu hanya merugikan parti menjelang pilihan raya akan datang.-SAHIH
