KETUA KAMPUNG TERIMA KOMPUTER RIBA
KETUA KAMPUNG TERIMA KOMPUTER RIBA
LIPIS: Tujuh puluh orang pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) menerima bantuan komputer riba dan alat pencetak bernilai RM231,000 dan duit raya sumbangan Pejabat Ahli Parlimen Lipis.
Timbalan Menteri Satu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, JKKK harus bergerak selari dengan dasar pembangunan kerajaan supaya masyarakat kampung bernaung di bawah organisasi itu turut menikmati manfaat menerusi pelbagai insentif tertentu.
“Kerjasama dan kepakaran pengurusan JKKK yang mantap diperlukan untuk merancang, dan membangunkan kampung masing-masing dengan lebih baik dan tersusun termasuk hal ehwal kebajikan dan sosial penduduk.
“Pengurusan dan pentadbir JKKK wajar melengkapkan pelbagai bentuk maklumat dan informasi yang dapat dikongsi sebagai keperluan penting untuk merancang pembangunan termasuk kewangan bagi peruntukan setempat,” katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa dengan Pengerusi JKKK Parlimen Lipis di Lipis malam semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Pengerusi Ketua-ketua Kampung Lipis, Datuk Zulkifli Othman dan Ketua Pemuda UMNO Lipis, Mohd Farid Mohd Nor.
Katanya, bantuan peralatan teknologi tersebut sebagai usaha untuk melengkapkan pengurusan JKKK di Lipis dengan pelbagai maklumat menerusi kemahiran perhubungan secara talian (online) yang lebih pantas dengan agensi di bawah KPLB.
“Peralatan ini membantu JKKK dapat bergerak serta bersaing dengan agensi kerajaan sekali gus dapat membantu pemimpin setempat mengenai perancangan pembangunan kawasan masing-masing.
“Hal ini juga menepati usaha JKKK bertanggungjawab ke atas kemajuan masyarakat dan kampung, menyatupadukan penduduk serta membina kehidupan masyarakat yang selamat dan sejahtera,” katanya.
Katanya, Lipis masih memerlukan lebih banyak pembangunan terutama dalam kemudahan infrastruktur seperti kemudahan bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan kemudahan telekomunikasi dan internet yang memerlukan perancangan rapi menerusi bantuan JKKK.