KETUA KAMPUNG KENA MAKI
KETUA KAMPUNG KENA MAKI
Banting: Polis menahan 20 individu termasuk remaja berusia 14 tahun kerana menunggang motosikal serta membuat bising di Jalan Kampung Sungai Kelambu, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kesemua individu itu ditahan oleh unit kereta peronda (MPV) dan penguatkuasaan trafik selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Katanya, dalam kejadian pada jam 5.30 petang, bilik gerakan menerima maklumat mengenai sekumpulan remaja menunggang motosikal serta membuat bising di Jalan Kampung Sungai Kelambu.
“Bertindak atas maklumat itu, unit MPV dan penguatkuasaan trafik menghala ke lokasi dan menahan 20 individu berusia dalam 14 hingga 21 tahun bersama 20 motosikal dengan dibantu oleh jawatankuasa keselamatan kampung.
“Kesemua individu berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan sebanyak 39 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalanraya 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, beberapa gambar penahanan remaja serta satu video yang menunjukkan anggota polis sedang menegur seorang remaja yang dipercayai bersikap kurang ajar pada orang tua tular di media sosial.
Ahmad Ridhwan berkata, remaja berkenaan didapati mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ketua kampung yang turut hadir ke tempat mereka ditahan polis, lapor HM online
“Justeru, anggota berkenaan menegur perbuatan remaja yang tidak menghormati orang tua serta ketua masyarakat di kampung itu,” katanya.