KESTABILAN KUNCI KEBANGKITAN UMNO
KESTABILAN KUNCI KEBANGKITAN UMNO
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung hujung minggu ini merupakan medan yang cukup kritikal untuk akar umbi berbicara secara telus dan ikhlas khususnya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kelangsungan dan masa depan parti.
Masanya untuk kita rapatkan saf, kukuhkan kesatuan serta sama – sama menentukan hala tuju yang jelas demi masa depan parti kita.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Hishammuddin Hussien berkata, perhimpunan kali ini mestilah berupaya menyerlahkan kestabilan UMNO di setiap peringkat yang berlandaskan semangat kebersamaan, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti serta ketaatan kepada pucuk pimpinan parti terutama institusi Presiden.
“Kestabilan ini penting sekiranya kita mahu UMNO diyakini sebagai institusi terbaik untuk memimpin negara serta dilihat sebagai parti yang ikhlas dalam mempertahankan agenda kesatuan Melayu-Islam.
“Kestabilan jugalah akan menentukan jatuh bangun UMNO dalam pilihan raya akan datang, kestabilan jugalah yang UMNO boleh tawarkan kepada rakyat berasaskan pengalaman yang panjang,” katanya.
Katanya, agenda kesatuan Melayu Islam yang diperjuangkan UMNO di samping kesungguhan membela kaum-kaum lain bukan sahaja akan menjamin kestabilan masa depan UMNO malah wajib dipertahankan demi melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang.
“Justeru, semasa bersidang kelak, bincanglah dengan penuh hikmah dan bijaksana, letak sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan pucuk pimpinan untuk membawa parti ke arah kestabilan yang amat kita perlukan sekarang.
“Marilah kita sama-sama berganding usaha dan memanjatkan doa kepada yang Esa, agar Perhimpunan pada hujung minggu ini dapat membawa seluruh kebaikan kepada parti,” katanya.