KES DARAH BEKU JARANG BERLAKU
KES DARAH BEKU JARANG BERLAKU
PUTRAJAYA: Jumlah kes darah beku atau thrombosis selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca, rendah dan jarang berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Kalaiarasu M Periasamy, berkata berdasarkan data daripada Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) dan Agensi Perubatan Eropah (EMA), terdapat 168 kes thrombosis dikesan di seluruh dunia sejak Mac lalu dan dalam tempoh itu juga, kira-kira 21.6 juta individu di seluruh dunia menerima suntikan vaksin AstraZeneca.
“Ini suatu bilangan yang amat kecil jika dibandingkan dengan bilangan dos vaksin. Malah, tiada bukti walaupun disuarakan EMA,” katanya pada sesi libat urus bersama media mengenai vaksin, di sini hari ini.
“Walaupun beberapa negara sebelum ini menghentikan sementara penggunaan vaksin itu di negara masing-masing berikutan kesan sampingan, namun ia diteruskan semula selepas data terkini diperoleh selepas ia disuntik kepada rakyat,” katanya, lapor Bernama.
Beliau memberi contoh Belgium yang pernah menghentikan sementara penggunaan vaksin AstraZeneca, namun menggunakan semula setelah EMA memberikan sokongan, ia selamat.
Bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Pendidikan dan Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, berkata setiap pembelian vaksin melalui proses penilaian oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Katanya, proses itu bertujuan memastikan setiap vaksin COVID-19 menepati piawaian keselamatan terhadap kesihatan serta tubuh manusia, selain berkualiti tinggi.
“Keyakinan rakyat perlu dipastikan dan apa-apa kesan sampingan seperti blood satu kejadian yang jarang dijumpai. Kita juga akan sentiasa memantau penggunaan vaksin AstraZeneca, bagi melihat apa kesan sampingan yang berlaku,” katanya.
Menurut laporan media, vaksin keluaran University Oxford itu dilapor menunjukkan keberkesanan 76 peratus terhadap jangkitan bersimptom untuk tiga bulan selepas menerima dos pertama dan peratusan itu dijangka meningkat, jika penerimaan dos kedua dilanjutkan.
Malaysia menerima 268,800 dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca yang diperoleh melalui fasiliti COVAX, pada Sabtu lepas.
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca selamat dan akan digunakan dalam proses vaksinasi golongan berusia 60 tahun ke atas.
Sementara itu, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit KKM Dr Benedict Sim Lim Heng menasihatkan penerima suntikan vaksin untuk merujuk ke mana-mana hospital, sekiranya mengalami kesan sampingan dalam masa antara empat hingga 14 hari, walaupun selepas mengambil ubat tahan sakit.
Menurutnya, antara gejala kesan sampingan selepas suntikan vaksin ialah sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur, mual dan muntah serta sesak nafas.