Kes buli di MRSM Kuantan – KPLB serah pada polis
Foto atas : Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku buli.
Kes buli di MRSM Kuantan – KPLB serah pada polis
SERDANG – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyerahkan sepenuhnya kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, kepada pihak polis.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku buli.
“Saya akan meneliti laporan lengkap siasatan kes itu, bila sudah buat laporan polis, kita tak mahu komen apa-apa lagi, biarlah polis siasat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di sini, semalam.
Katanya, amalan buli di mana-mana institusi pendidikan adalah satu perkara serius dan pelajar terbabit boleh dibuang sekolah.
“Misalnya insiden di MRSM Kepala Batas, pelajar buli pelajar lain apabila lembaga disiplin dapat sahkan, memang pelajar itu dibuang sekolah.
“Semalam, tular satu hantaran di media sosial mengenai pendedahan dibuat ibu mangsa buli yang mendakwa pihak pengurusan MRSM Kuantan tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kes buli membabitkan anaknya,” katanya.
Katanya, ibu mangsa mendakwa baju sekolah anaknya diconteng dan rambut digunting ketika tidur, selain mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di MRSM itu.-SAHIH.