Kerjasama Strategik FELDA-Pahang Percepat Penswastaan FGV
Kerjasama Strategik FELDA-Pahang Percepat Penswastaan FGV
BENTONG, — Kerajaan Negeri Pahang secara rasmi menyertai usaha strategik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi mengambil alih FGV Holdings Berhad (FGV) melalui perjanjian Person Acting in Concert (PAC), sekali gus mempercepat proses penswastaan syarikat perladangan tersebut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerjasama ini menandakan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk menjadi sebahagian daripada agenda nasional yang memperkukuh ekonomi negeri serta kesejahteraan warga peneroka FELDA.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berdiri teguh di belakang FELDA sebagai rakan strategik yang komited dan ikhlas membantu memperkasa komuniti peneroka. Kita percaya kemajuan FELDA adalah cerminan kemajuan negeri,” katanya.
Setakat ini, FELDA memiliki 82 peratus saham dalam FGV. Namun, syarat Bursa Malaysia menetapkan pemilikan 90 peratus diperlukan untuk melengkapkan proses penswastaan..
“Pemilikan Pahang dalam FGV mungkin hanya sekitar lima peratus, namun ia sangat signifikan. Tanpa sokongan ini, FELDA tidak boleh mencapai ambang 90 peratus. Dengan kerjasama ini, jumlah pemilikan kini melebihi 87 peratus,” katanya.
Beliau menegaskan, perjanjian PAC juga meletakkan tanggungjawab bersama dalam membuat keputusan strategik yang memberi impak kepada kepentingan kedua-dua pihak, khususnya dalam aspek kebajikan dan pembangunan peneroka di Pahang.
“Banyak keputusan mesti dibuat secara bersama, dan pandangan Pahang perlu diambil kira. Ini menjadikan hubungan antara FELDA dan Kerajaan Negeri lebih erat dan saling memperkukuh,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra Felda Menteri Besar Pahang di Geo Resort & Hotel Genting Highland.
Turut hadir sama Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Amizar Abu Adam Exco Hal Ehwal FELDA Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang dan Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman, Pengarah Besar Felda.
Tambah Wan Rosdy, Kerajaan Negeri menyambut baik pelbagai inisiatif FELDA termasuk pembangunan semula kawasan rancangan lama, peningkatan prasarana, pembiayaan perumahan generasi baharu dan program latihan kemahiran.
“Sekretariat Muafakat FELDA Pahang telah ditubuhkan sebagai pusat sehenti untuk kebajikan warga FELDA, manakala Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang (STRFP) menawarkan lebih 16,000 lot rumah kepada generasi baharu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 41,286 peneroka atau 96 peratus daripada jumlah keseluruhan di negeri ini telah menerima suratan hak milik tanah masing-masing.
Dengan dasar yang tepat, pelaksanaan berkesan serta sokongan padu pelbagai pihak, beliau optimis FELDA di Pahang mampu dijadikan model pembangunan tanah rancangan terbaik di negara ini.-SAHIH