KERJASAMA ANTARA KOPERASI PERLU UNTUK PERKASAKAN EKONOMI
KERJASAMA ANTARA KOPERASI PERLU UNTUK PERKASAKAN EKONOMI
KUALA LUMPUR: Kerjasama di antara koperasi wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkasakan ekonomi koperasi melalui bimbingan koperasi besar yang berjaya kepada koperasi kecil dan mikro.
Usaha itu mampu meningkatkan semangat bekerjasama dalam gerakan koperasi melalui nilai-nilai murni, bantu membantu dan bersatu hati selaras dengan Prinsip Keenam Koperasi iaitu Kerjasama Antara Koperasi.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pemerkasaan kerjasama perniagaan koperasi mampu menggalakkan koperasi kecil dan mikro bergerak kepada anjakan lebih baik menerusi bantuan dan sokongan koperasi besar yang berjaya.
Beliau yang juga Presiden Asean Cooperative Organization (ACO) berkata, kerjayaan KOPUTRA dan KOPETRO yang tersenarai 100 koperasi terbaik Malaysia 2020 ini berupaya menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih besar.
“Kejayaan itu sekaligus turut memberi inspirasi dan motivasi kepada koperasi lain mencipta kejayaan dalam lapangan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Siri 6 Webinar AURA ‘ Perkongsian Peluang Perniagaan Bersama Koperasi’ secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting dan FB Live ANGKASA.COOP, baru-baru ini.
Siri webinar itu menampilkan dua ahli panel iaitu Pengerusi Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO), Khairu Najhan Zainuddin dan Pengerusi Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA), Zaharuddin Alias dengan kendalian moderator, Naib Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya.
Seramai 140 peserta terdiri warga koperasi dan pemimpin koperasi berpeluang mendengar perkongsian ilmu dan pengalaman daripada kedua-dua ahli panel mengenai kejayaan dan hala tuju koperasi mereka dalam mendepani cabaran pada masa akan datang.
“Berdasarkan rekod yang dikeluarkan SKM (2020), 95 peratus koperasi dalam kategori kecil dan mikro (85.87 peratus) manakala 1.65 peratus koperasi besar dan 3.26 peratus koperasi sederhana.
“Aspek kepakaran, kemahiran dan modal menjadi tunjang kepada perkembangan perniagaan sesebuah koperasi untuk lebih aktif,”katanya.
Sementara itu, Pengerusi KOPUTRA, Zaharudin Alias berkata, pelan strategik perniagaan yang betul menjadi pemacu dalam usaha merealisasikan perniagaan yang ingin dijalankan.
Beliau mempelawa koperasi-koperasi untuk bekerjasama dan menceburi aktiviti perniagaan yang berpotensi untuk kemajuan sekali gus mewujudkan sinergi yang kuat dalam pemerkasaan ekonomi koperasi.
Turut serta dalam program itu, Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Mohamad Ali Hasan, Datuk Che Mohd. Shukree Che Isa dan Prof. Madya Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan kepimpinan ANGKASA Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Nasir Khan Yahaya.-SAHIH.