Kerja pembersihan di Lebuh raya KL-Karak selesai dan boleh dilalui
Kerja pembersihan di Lebuh raya KL-Karak selesai dan boleh dilalui
KUALA LUMPUR – Pengendali Lebuhraya ANIH Berhad, Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), kerja-kerja pembersihan dan pembaikan di sepanjang KM77 – KM78 arah timur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak telah siap dan sudah dibuka semula kepada pengguna pada jam 3.00 pagi semalam.
Pengguna lebuh raya yang ingin ke Pekan Karak tidak perlu membuat pusingan ‘U’ sebelum Plaza Tol Karak dan boleh meneruskan perjalanan seperti biasa untuk sampai ke destinasi masing-masing.
Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, bagaimanapun pengguna yang menghala ke Kuala Lumpur dari Karak masih perlu melakukan pusingan ‘U’ di Plaza Tol Karak.
“Pada masa ini, lorong kiri dan kanan menghala ke Kuala Lumpur dari KM66 hingga KM70 sudah dibuka sepenuhnya.
“Namun, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda arah keselamatan apabila menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua, di KM74.8 hingga KM77.3, untuk memastikan keselamatan dan keselesaan semua, ” katanya.
Katanya, ANIH Berhad ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa syarikat sentiasa dalam keadaan bersedia dan komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya kekal sebagai keutamaan.
Untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 09 5479111/1-700-818-700.-SAHIH.