KERIS PUSAKA MAT KILAU
Dalam banyak-banyak keris peninggalan Arwah Aki Mat Kilau , saya tertarik dengan keris Sepukal ini yang seakan Sundang. Keris ini asalnya kepunyaan Ayahandanya iaitu Tok Gajah dan diamanahkan kepada Mat Kilau ketika berusia 16 Tahun.
Keris ini adalah 100 peratus Keris Tempa Pahang yang biasanya digunakan untuk menusuk, menikam dan menghunus.
Keris Mat Kilau ini bukan sahaja untuk menikam, tapi boleh digunakan untuk menghiris kerana kedua mata bilahnya tajam.
Agaknya inilah keris digunakan Mat Kilau ketika membunuh 9 orang musuh sekaligus dalam satu pertempuran suatu ketika dahulu.
Wallahu’alam.
Jika diperhatikan, keris ini memiliki titik bulat berwarna putih, dekat belalai gajah dan aring.
Titik bulat itu diperbuat daripada bahan logam Perak yang dipercayai mempunyai kuasa bagi memusnahkan ilmu kebal.
Hulu keris itu pula diperbuat dari Kayu Kemuning Hitam yang mempunyai banyak khasiat, antaranya sebagai penawar racun.
Sewaktu Mat Kilau mengasingkan diri di Siam (Selatan Thailand), keris ini disembunyikan di dalam tempayan selama kira-kira 30 tahun, sebelum digali semula.
Tujuannya adalah bagi merahsiakan identiti sebenar beliau memandangkan ketika itu, keris ibarat pengenalan diri kerana melalui reka bentuk keris sudah dapat mendedahkan identiti, pangkat dan tempat asal usul pemiliknya.
Gambar Arwah Aki Mat Kilau diambil pada Tahun 1969, keris yang tersisip di pinggang Arwah itu adalah keris yang sama di dalam gambar.
Sewaktu Mat Kilau keluar daripada persembunyian dan mendedahkan identitinya pada tahun 1969, keris itu diserahkan kepada menantu yang juga anak muridnya, Arwah Abu Bakar, dan kini dijaga cucunya, Alhamadi Abu Bakar (guru utama Seni Silat Tapak Setia Suci-Warisan Mat Kilau) yang menetap di Kuantan.
Bissirril Al-Fatihah
Arwah Aki Mat Kilau
Pahlawan Melayu Pahang.
Gagah perkasa Dato Laksamana
Keris sebilah tersisip di pinggang
Pahlawan berani bijak laksana
Berundur langkah ia berpantang
Sauh dilabuh ke arah hilir
Kapal bermalam di Tanjung Tuan
Peluh bercucur darah mengalir
Kerana bangsa rela terkorban
Terbang helang ke atas angkasa
Tiba di awan menyongsong pergi
Terbilang negara ternama bangsa
Jasa pahlawan dijunjung tinggi.
Sumber – Admin
www.sahih.com.my