Kereta terbabas jatuh gaung 60 meter, dua warga emas terselamat
Kereta terbabas jatuh gaung 60 meter, dua warga emas terselamat
CAMERON HIGHLANDS – Dua individu berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sejauh kira-kira 60 meter berhampiran BOH Tea Centre, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.14 petang itu, sebuah kereta jenis Haval bernombor pendaftaran SB2188K dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam gaung.

Penguasa Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira 24 minit kemudian.
“Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 73 tahun warga tempatan dan seorang wanita berusia 79 tahun warga Singapura. Kedua-duanya mengalami kecederaan, namun tidak tersepit,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba segera menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan pengusung untuk membawa mangsa naik ke kawasan selamat.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 4.19 petang sebelum mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Seramai lapan anggota terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).-SAHIH.
