Kereta elektrik ‘naik hantu’ rempuh tiga kenderaan
Kereta elektrik ‘naik hantu’ rempuh tiga kenderaan
TEMERLOH – Sebuah kereta elektrik dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiga kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Tengku Ismail di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk dua lagi kenderaan dan sebuah motosikal yang diletakkan di kawasan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6 petang sebelum pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bergegas ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati kereta jenis elektrik dipandu wanita berusia 31 tahun dari arah bandar Temerloh menghala ke Mentakab dipercayai hilang kawalan.
“Kenderaan itu kemudian melanggar sebuah Perodua merah di hadapannya menyebabkan kereta berkenaan terdorong ke depan lalu merempuh sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu juga, kenderaan elektrik terbabit terus melanggar sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di kawasan sama.
Beliau berkata, lima individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang berada dalam kenderaan tersebut cedera dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk menerima rawatan.
“Pemandu kenderaan berusia 32 tahun disyaki patah bahu kanan, manakala penumpang lain termasuk kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan dan lebam.
“Pemandu kereta elektrik turut menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Katanya, penunggang motosikal berusia 43 tahun dan pemandu berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan kerana tidak berada dalam kenderaan masing-masing ketika kejadian.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta elektrik yang hilang kawalan ketika memandu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.-SAHIH
