Kerbau naik perahu panjang di Sungai Tembeling
Kerbau naik perahu panjang di Sungai Tembeling
JERANTUT – Mengangkut lembu atau kerbau menggunakan perahu panjang di kawasan hulu Tembeling tidak asing lagi bagi penduduk di kawasan itu dan sudah menjadi lumrah disebabkan hidup dalam serba kesukaran mengajar mereka lebih kreatif.
Selain kreatif hidup dalam keadaan surivival seperti dalam kalangan masyarakat Melayu di Ulu Tembeling, Jerantut yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Gusai ketika melaksanakan kerja harian dan mencari rezeki.
Seorang warga emas yang juga seorang penternak menggunakan perahu kajang berenjin untuk memindahkan ternakannya dari dari Kampung Kucing dibawa pulang ke rumahnya, di Kampung Komel, Ulu Tembeling
Penduduk Kampung Komel, Ulu Tembeling, Abdul Rani Saidy, 62, mempunyai cara tersendiri untuk memunggah ternakan kerbaunya ke lokasi lain bagi tujuan peliharaan di kandang berdekatan dengan kediamannya.
“Saya terpaksa menggunakan perahu kajang dipasang enjin 40 kuasa kuda untuk membawa seekor kerbau betina dan dua anak yang sudah lama dipelihara di kandang Kampung Kucing.
“Jarak perjalanan darat yang agak jauh, iaitu enam kilometer dengan kampung ini memaksa saya mengangkut ternakan ini dengan perahu kajang lagipun kerbau ini berada di seberang Sungai Tembeling dan agak sukar menyeberang di kawasan sungai yang dalam dan arus deras walaupun haiwan ini mampu berenang,” katanya di Kampung Kucing, Ulu Tembeling dekat sini, baru-baru ini.
Katanya, dia cuma dibantu oleh seorang rakan untuk menghalau dan menarik ternakan itu ke atas perahu kajang miliknya yang terletak di tepi Sungai Tembeling.
Katanya, kerja menaikkan tiga ekor kerbau ini mengambil masa hampir satu jam kerana dua ekor anaknya agak liar dan lagipun tugas itu perlu dilakukan dengan cermat supaya tidak melibatkan kecederaan haiwan ini apaila ditarik dengan tali ke atas perahu kajang.
“Sebelum ada jalan raya menghubungkan bandar Jerantut ke kawasan hulu, membawa lembu atau kerbau menggunakan bot adalah pemandangan biasa bagi penduduk di sini, tetapi agak pelik bagi pengunjung luar yang melihatnya.
“Kerja menaikkan ternakan ini ke atas perahu kajang bukanlah mudah cuma mampu dilakukan oleh orang tertentu sahaja yang mempunyai kemahiran menggunakan tali, teknik menarik termasuk memujuk haiwan ini perlu dikuasai bagi memudahkan naik ke atas perahu dan ditambat supaya ia tidak bergerak,” katanya.
Katanya, lembu atau kerbau yang hidup bebas di luar kandang memang agak rumit dan merbahaya serta mengambil masa berhari-hari untuk dijinakkan sebelum boleh dinaikkan ke atas perahu kajang.
“Tiga ekor kerbau yang diangkut seberat kira-kira 300 kilogram sudahpun ditambat kaki pada tiang bumbung perahu juga berdepan sedikit cabaran ketika saya mengemudi bot meredah arus deras Sungai Tembeling, tetapi selamat sampai ke Kampung Komel kira-kira 30 minit perjalanan.
“Bagi masyarakat Ulu Tembeling kerja memindahkan atau mengangkut kerbau yang dibeli dari penduduk kampung lain selalunya ketika berlaku menjelang musim perayaan dan majlis perkahwinan, manakala ada juga untuk dimasukkan ke dalam kandang untuk peliharaan sendiri, ‘katanya.-SAHIH.