KERBAU 200KG TERPEROSOK DALAM LUBANG NAJIS
KERBAU 200KG TERPEROSOK DALAM LUBANG NAJIS
LIPIS : Seekor kerbau seberat 200 kilogram berjaya diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas terjatuh ke dalam lubang najis di belakang sebuah rumah di Kampung Bapong, dekat sini, hari ini.
Sebuah jengkaut terpaksa digunakan dengan memecah dan menggali tanah di bahagian lubang najis itu untuk melebarkan ruang bagi memudahkan untuk menggeluarkan haiwan tersebut.
Ketua Zon 3 JBPM Negeri, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, seorang pegawai dan enam orang anggota Bomba dan Penyelamat Lipis menerima panggilan pada jam 9 pagi, hari ini, tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian dan mendapati haiwan itu terperosok ke dalam lubang najis.
“Kerbau jantan ini dipercayai terjatuh selepas terpijak penutup lubang najis ini dan pecah sehingga menyebabkan badan haiwan ini terperosok ke dalam lubang.
“Kami menggunakan tali untuk menarik haiwan ini, tetapi gagal kerana sukar untuk mengeluarkan kerbau jantan ini kerana badannya bersaiz besar malah ruang lubang tandas ini sangat sempit,” katanya di sini hari ini.
Katanya, oleh itu pihak JBPM mendapat bantuan sebuah jengkaut untuk menyelamat haiwan itu dan mengambil masa selama hampr dua jam untuk mengeluarkan haiwan itu daripada lubang najis itu.
“Kerbau jantan ini berjaya ditarik keluar dan cuma mengalami luka dan calar pada badannya kemudian beredar dari tempat kejadian.
“Kejadian ini adalah kali kedua berlaku di tempat yang sama, kali pertama pada 2019 turut seekor kerbau terperosok dalam lubang najis itu, “katanya.-SAHIH.