KERANA HUTANG SEORANG LELAKI MAUT DITIKAM
KERANA HUTANG SEORANG LELAKI MAUT DITIKAM
KAJANG – Pergaduhan sekumpulan lelaki berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki maut dipukul dan ditikam dengan pisau di tepi jalan kawasan Taman Taragon Puteri, Batu 9 Cheras, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki kira-kira pukul 6.45 petang.
“Sebaik anggota polis tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati dalam keadaan berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek disyaki bersenjatakan pisau dan batu bata telah menyerang mangsa berdasarkan kesan kecederaan fizikal yang dialami mangsa,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah telah menjalankan operasi khas dan berjaya memberkas lima lelaki tempatan berumur lingkungan 39 hingga 48 tahun, awal pagi tadi.
“Hasil soal siasat ke atas suspek mendapati pergaduhan itu berlaku disyaki berpunca daripada masalah hutang.
“Kesemua suspek telah dibenarkan reman oleh Majistret Mahkamah Kajang selama enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” ujarnya, lapor HM online
Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Radzee Jamudi.