KERAJAAN TURUNKAN HARGA SILING BAHARU RON95 DAN DIESEL
KERAJAAN TURUNKAN HARGA SILING BAHARU RON95 DAN DIESEL
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menurunkan had harga siling baharu bagi produk petrol, RON95 pada RM2.05, manakala diesel pada RM2.15 seliter.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penetapan harga siling itu adalah bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara di peringkat global.
“Penetapan harga siling ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95, dan RM2.18 seliter bagi diesel.
“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor BH Online.
Zafrul berkata, keputusan diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia.
Katanya, ia turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.
“Trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia.
“Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula hujung Februari 2021,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia.
“Kerajaan juga akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Harga minyak mentah Brent hari ini mencecah paras AS$61.52 (RM248.79) setong buat pertama kali dalam tempoh lebih setahun.
Ia berikutan pelabur optimis mengenai permintaan susulan ekonomi global pulih daripada pandemik COVID-19.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik tiga sen seliter, manakala harga runcit diesel naik empat sen seliter bagi tempoh seminggu.
Harga baharu untuk ketiga-tiga bahan bakar itu adalah RM1.93 (RON95), RM2.23 (RON97) dan RM2.11 (diesel).