KERAJAAN TIDAK LUPA RAKYAT TERKESAN
TERUTAMA SERANGAN GEJALA WABAK COVID-19 DAN DI MUSIM TENGKUJUH
TEMERLOH: Timbalan Menteri, Kementerian Dalam Negeri 1, Datuk Dr Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan tidak melupakan rakyat khususnya mereka yang terkesan di musim gejala wabak COVID-19 dan kebetulan pula didatangi musim tengkujuh mulai bulan ini yang pastinya memberi sedikit kesukaran.
Oleh itu seramai 320 keluarga penduduk dari Kampung Pelong, Kg Seboi dan Kg Mendoi yang terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krau menerima bantuan barangan dapur Food Bank Malaysia di tiga perkampungan Orang Asli itu , hari ini.
Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), mengadakan inisiatif peduli rakyat bagi membantu golongan kurang kemampuan untuk mendapatkan makanan yang secara tidak langsung dapat meringankan beban kos sara hidup golongan terkesan.
“Pastinya rakyat terutama penduduk Orang Asli yang berada di dalam kawasan Parlimen Kuala Krau yang terkesan, malah ada di antaranya tidak dapat keluar menoreh getah di musim hujan atau mencari hasil hutan sebagai sumber pendapatan mereka.
“Kerajaan sentiasa mencari jalan dan berusaha untuk memberi kemudahan kepada semua rakyat, kita memiliki kerajaan yang stabil dan memudahkan program yang menjurus kepada memberi kemudahan kepada rakyat yang boleh dilakukan tanpa sekatan dan halangan,” katanya di Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Sumbangan Barangan Makanan kepada masyarakat Orang Asli.
Katanya, selain itu kita mendapat kerjasama daripada banyak pihak korperat, pasaraya dan pembekal makanan untuk menyalurkan bantuan makanan kepada semua golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.
Sementara itu, beliau berharap kaum Orang Asli menumpukan perhatian kepada pendidikan untuk menjamin masa depan yang lebih cerah serta dapat melakukan perubahan sosial yang terbaik.
“Jangan bazirkan masa di musim cuti sekolah yang baharu bermula, oleh itu anak-anak jangan lupa untuk terus belajar dan lakukan perkara berfaedah dengan melakukan ulang kaji pelajaran di masa terluang yang sesuai kerana cuti sekolah baharu bermula,” katanya.